• Ketua pasukan skuad kebangsaan, Zaquan Adha mahu memperbaiki prestasi beliau yang sedikit merudum kebelakangan ini pada perlawanan persahabatan antarabangsa menentang pasukan Maldives di Stadium Nasional Bukit Jalil malam ini.

    Penyerang pasukan Kuala Lumpur ini gagal untuk menjaringkan sebarang gol pada dua perlawanan persahabatan terakhir dimana Malaysia menewaskan pasukan Sri Lanka dan tewas kepada pasukan Kyrgyzstan.

    “Saya akui belum berada pada tahap yang saya inginkan jadi saya perlu terus bekerja keras bermula dengan perlawanan menentang Maldives malam esok.

    “Ini ruang terbaik untuk saya sebelum menempuh aksi sebenar di Piala AFF nanti. Saya perlu membalas kepercayaan jurulatih dengan memberi aksi terbaik,” katanya menurut laporan Berita Harian.

    Bekas penyerang Negeri Sembilan dan ATM FA itu menambah perlawanan menentang Maldives malam ini penting untuk dimanfaatkan dengan sebaiknya kerana ini akan menjadi aksi pemanas badan terakhir sebelum berlepas ke Phnom Penh bagi menghadapi pasukan Kemboja pada perlawanan pertama kumpulan A.

    Beliau juga mengakui persaingan hebat di bahagian serangan akan membuat penyerang negara menampilkan aksi terbaik mereka bagi menambat hati Tan Cheng Hoe.

    Selain Zaquan, ada Hazwan Bakri, Shahrel Fikri Fauzi dan Norshahrul Idlan Talaha yang saling merebut tempat dalam skuad utama pasukan negara nanti.

    “Persaingan sengit ditunjukkan rakan sepasukan kerana aksi malam esok akan menentukan skuad muktamad ke kejohanan itu.

    “Ini menjadi motivasi buat semua pemain untuk memberikan komitmen terbaik sebagai momentum ke Piala AFF,” tambah Zaquan Adha.

    Pasukan bimbingan Tan Cheng Hoe akan membuka tirai Piala AFF bertemu Kemboja pada 8 November ini di laman lawan sebelum menentang Laos (12 November) di Stadium Nasional Bukit Jalil, Vietnam (16 November) di laman lawan dan aksi terakhir peringkat kumpulan bertemu Myanmar (24 November) juga di Stadium Nasional Bukit Jalil.

    Kali terakhir skuad Harimau Malaya memenangi Piala AFF ialah pada edisi 2010 lalu dan edisi kali ini merupakan peluang terbaik pasukan negara mengecapi kejayaan di peringkat antarabangsa sekali lagi.

    Baca Juga: Jangan Pandang Rendah Kemampuan Maldives

    Leave a comment

    Your email address will not be published.