Sumber Gambar: Sportflex

Penyerang skuad bawah 23 tahun negara, Hadi Fayyadh Abdul Razak sah menyertai kelab yang beraksi di saingan J2 League, Fagiano Okayama untuk tempoh satu tahun. Sebelumnya, Hadi menjalani tempoh percubaan bersama kelab tersebut pada bulan September dan November yang lepas.

Menurut laporan Vocket FC, Hadi berasa gembira dapat menempatkan diri dalam kelab tersebut.

“Alhamdulillah, saya berasa sangat gembira kerana telah berjaya menempatkan diri dalam kelab ini. lni merupakan cita-cita saya sejak kecil dan juga merupakan satu permulaan yang baik bagi saya untuk meningkatkan kemahiran diri.

“Sebagaimana yang kita tahu, Jepun merupakan antara pasukan Bola Sepak yang terbaik di Asia dan mempunyai program pembangunan bola sepak yang tersusun. Oleh, yang demikian, peluang yang saya perolehi ini akan saya gunakan sehabis baik demi masa depan yang lebih gemilang dalam arena bola sepak,” kata Hadi.

Hadi turut menyifatkan beliau mahu menggunakan peluang yang diperoleh sebagai medan untuk meningkatkan lagi kualiti dan juga mutu permainan beliau. Pemain berusia 19 tahun ini turut mengucapkan terima kasih kepada Yakult Malaysia atas usaha membawa beliau ke Jepun.

“Pemain-pemain di sini sangat bagus, berani untuk belajar benda baru dan tidak takut untuk membuat silap. Mereka mempunyai kemahiran yang baik, laju dan saya merasakan saya boleh menjadi pemain yang baik jika bersama mereka di sini”

“Target saya seterusnya adalah untuk meningkatkan kemahiran yang ada agar mendapat tempat dalam kesebelasan utama dalam perlawanan yang akan datang. Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada Encik Hiroshi Hamada, Pengarah Urusan Yakult (Malaysia) Sdn Bhd yang membuka jalan dan membantu saya dalam mendapatkan tempat di sini,” tambahnya.

Sementara itu, Pengarah Urusan Yakult (M) Hiroshi Hamasa menyifatkan kejayaan Hadi mendapat tempat bersama kelab Fagiano Okayama adalah hasil kerja kuat Hadi sepanjang latihan dan merupakan kejayaan sulung buat pemain Malaysia.

“Saya dimaklumkan oleh Pengurus Kelab Fagiano Okayama bahawa Hadi sentiasa memberikan yang terbaik dalam sesi latihan yang di adakan sehingga membuat mereka tertarik untuk mengambil Hadi untuk menyertai mereka.”

“Sebagai penaja Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), saya turut berkongsi kegembiraan ini dan berharap agar kejayaan ini dapat menjadi pembuka ruang untuk lebih ramai lagi pemain Malaysia bermain di Liga Profesional Jepun. Kami akan sentiasa menyokong Hadi dan membantu mana-mana pemain Malaysia yang ingin mendapatkan tempat di sini.”

Baca Juga: Hadi Fayyadh Tidak Lagi Kekok Bersama Fagiano

Leave a Reply