Sumber Gambar: PFAM

Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) tidak bersetuju dengan penetapan had gaji pemain dalam saingan Liga Malaysia dan menganggap perkara tersebut bukanlah jalan penyelesaian kepada isu tunggakan gaji pemain.

Presiden PFAM Rezal Zambery Yahya berpendapat penetapan itu akan membawa kepada masalah yang lebih besar seperti pemain menandatangani kontrak dengan dua atau tiga pasukan berasingan dalam tempoh yang sama.

Pada pandangan saya kita tidak boleh mengehadkan tangga gaji pemain kerana pernah berlaku satu ketika dahulu pemain menandatangani dua atau tiga kontrak.

“Ia akan lebih menyusahkan dan merumitkan semua pihak seperti yang terjadi sebelum ini.

“Ini kerana ada pemain mengikat dua kontrak selepas ada pasukan yang sudi membayar gaji lebih daripada yang ditetapkan, termasuk membuat perjanjian ‘bawah meja’,” kata Rezal menurut laporan Harian Metro.

Banyak pasukan dalam saingan Liga Malaysia bergelut untuk menampung kos operasi pasukan kerana gaji pemain terutama pemain import sangat tinggi. Dikhabarkan sebanyak 80 % dana pasukan digunakan untuk membayar gai pemain manakala bakinya untuk kegunaa pasukan pembangunan.

Tambah Rezal Zambery, beliau turut menolak penetapan gaji siling atau gaji maksimum yang disokonng oleh Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) dan menganggap perkara itu sudah tidak relevan dalam dunia bola sepak moden.

“Masalah itu berpunca daripada pihak pengurusan pasukan itu sendiri yang gagal menguruskan soal perbelanjaan dengan baik sehingga menyebabkan ada yang terpaksa ‘tutup kedai’.

“Sekiranya ada pasukan mampu berbelanja lebih untuk dapatkan pemain berkualiti, biarlah. Bagi yang tidak mampu, berbelanjalah mengikut kemampuan sendiri.

“Tetapi kalau ada cadangan untuk memperkenalkan gaji minimum pemain, saya rasa ia harus diketengahkan terutamanya buat saingan Piala Presiden.

“Saya melihat gaji diterima pemain muda, dianggarkan sekitar RM1,000, sebagai tidak mencukupi dengan kos sara hidup yang tinggi ketika ini.

“Perkara sebegini kita perlu ambil kira kerana mereka menjalani latihan setiap hari dan baru hendak membina karier, dengan pendapatan sebanyak itu tidak cukup untuk mereka memberi komitmen sepenuh masa,” tambahnya.

Baca Juga: Felda United Juga Berdepan Isu Tunggakan Gaji

Leave a Reply