Sumber Gambar: MUSA

Pemain tengah Melaka United, Safiq Rahim yakin pasukannya mampu untuk memenangi trofi dalam saingan Liga Malaysia musim hadapan.

Menurut Safiq, beliau yakin Melaka akan muncul sebagai salah satu pasukan yang disegani dalam saingan Liga Malaysia setelah dua musim hanya menjadi pasukan biasa-biasa dan hanya menamatkan saingan Liga di kedudukan enam terbawah.

“Berdasarkan senarai pemain termasuk kehadiran Shukor Adan, Razman Roslan, Khairul Fahmi Che Mat, Raimi Md Noor serta pemain muda lain, sasaran meraih satu daripada piala mampu direalisasikan.

“Apa yang penting, pemain mampu menterjemah perancangan jurulatih menerusi corak permainan secara berpasukan yang agresif. Kami perlu terus meningkatkan persembahan dan persefahaman selepas aksi persahabatan menentang Selangor United masih kurang menyerlah,”katanya menurut laporan Berita Harian.

Kehadiram Safiq sememangnya memberi harapan baru kepada para peminat setia Melaka United kerana sudah dua musim pasukan itu sedikit bergelut dalam saingan Liga Super. Pengalaman serta kemampuan yang dimiliki oleh pemenang Piala AFC edisi 2015 ini dilihat bakal menjadi penggerak utama jentera serangan Melaka musim hadapan.

Selain kehadiran Safiq yang memberi harapan baru, kehadiran pemain berpengalaman yang lain seperti Shukor Adan dan Razman Roslan juga bakal menjadi nadi utama pasukan agar dapat memperkemaskan lagi benteng pertahanan Melaka.

Tiga pemain berpengalaman ini menjadi pilihan utama untuk menerajui pasukan dengan Safiq Rahim berkemungkinan bakal dipilih sebagai ketua pasukan sambil dibantu oleh Shukor dan Razman. Ketiga-tiga pemain ini merupakan ketua pasukan ketika mewakili JDT, Felda United dan Selangor musim lalu.

Musim hadapan, juara Liga Perdana 2016 ini akan dibimbing oleh bekas pengendali Selangor dan Pahang, Zainal Abidin Hassan. Dengan kemasukan pemain bintang, sudah pasti sasaran yang diletakkan di bahu Zainal amat tinggi.

Melihat kepada gaya pengurusan Melaka yang sedikit tegas dan garang, hanya dengan memenangi sekurang-kurangnya stau trofi dapat memuaskan hati pihak pengurusan sekaligus mengekalkan mereka dalam pasukan.

Jika perkara sebaliknya berlaku, maka tidak mustahil pasukan Melaka akan mengalami perubahan besar ketika saingan Liga Malaysia sampai di pertengahan.

Baca Juga: Siapa Yang Layak Diangkat Sebagai Kapten ?

Leave a Reply