• Bekas pemain skuad kebangsaan, Rezal Zambery Yahya percaya pemain muda negara, Akhyar Rashid sudah mempunyai perancangan yang tersendiri mengenai pasukan mana yang beliau akan wakili pada saingan Liga Malaysia musim hadapan.

    Isu perpindahan pemain berusia 19 tahun ini belum menemui titik noktah dimana bekas majikannya, Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) tidak berpuas hati dengan pampasan yang ditetapkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bagi mana-mana pasukan yang mahu mendapatkan khidmat beliau.

    Setakat ini, ada dua pasukan yang menunjukkan minat mahu mendapatkan khidmat Akhyar. Dua pasukan yang dimaksudkan ialah Johor Darul Ta’zim dan juga Perlis.

    “Sebenarnya kelab mana dia akan pilih sudah ada dalam pe­rancangannya, kalau tidak kenapa dia mahu keluar dari Kedah?

    “Bagi saya, apa yang dirancang itu adalah demi masa depan kariernya. Dia sudah pasti telah memikirkan masak-masak tentang hala tujunya.

    “Saya yakin apa pun pilihannya adalah yang terbaik,” kata Rezal Zambery kepada Utusan Malaysia.

    Setelah bergelar ejen bebas, juara Liga Super musim ini, Johor Darul Ta’zim telah membuka pintu rundingan untuk mendapatkan khidmat Akhyar. Pasukan bimbingan Luciano Figueroa itu sedang mencari pemain muda berkualiti bagi mengukuhkan pasukan kerana mereka bakal beraksi dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah (ACL) tahun hadapan.

    Dalam masa yang sama, pasukan yang diberi nafas baru, Perlis juga tidak mahu ketinggalan apabila mereka mahu mendapatkan khidmat pemain muda lincah ini. Minggu lalu, Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) diketuai oleh Presiden mereka, Datuk Ahmad Amizal Shaifit Ahmad Rafie membuat rombongan dengan mendatangi kediaman Akhyar minggu lalu.

    Akhyar Rashid sendiri masih belum membuat sebarang keputusan mengenai pasukan mana yang akan menjadi destinasi yang seterusnya buat beliau. Apa yang pasti, Akhyar perlu beraksi di pentas tertinggi bagi memastikan beliau dapat meningkatkan lagi kualiti permainan sedia ada sekaligus menjadi antara senjata utama skuad Harimau Malaya di pentas antarabangsa pada masa akan datang.

    Baca Juga: Akhyar Rashid Harus Lebih Bijak – Shebby Singh

    Leave a comment

    Your email address will not be published.