• Ketua jurulatih pasukan Selangor, B.Sathianathan tidak menolak sebarang kemungkinan pasukannya menandatangani bekas pemain tengah import Felcra FC, Endrick Dos Santos bagi menghadapi saingan Liga Malaysia musim hadapan.

    Semalam, Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) menerusi Setiausaha Agungnya, Dr Johan Kamal Hamidon mengesahkan nama Endrick berada dalam radar pasukan Selangor.

    Menurut laporan Stadium Astro, Sathia mengesahkan pemain kelahiran Brazil itu akan menyarung jersi Selangor dalam masa terdekat.

    “Saya dapati dia (Endrick Dos Santos) merupakan pemain yang baik. Dia mempunyai keupayaan untuk menghasilkan hantaran yang baik. Dia pasti akan memberikan impak yang positif kepada pasukan kami.

    “Usianya juga baru mencecah 23 tahun dan saya sukakan tenaga muda seperti itu. Dia mampu memberikan tenaga baru dalam pasukan ini,” katanya.

    Endrick berkemungkinan besar akan digandingkan dengan seorang lagi pemain import, Rufino Segovia di bahagian serangan. Musim lalu, Rufino tidak mempunyai gandingan yang mantap sehinggakan beliau terpaksa bekerja keras untuk memastikan jentera serangan Selangor berfungsi. Mujur pemain berusia 33 tahun ini berjaya menampilkan aksi cemerlang.

    Tambah B.Sathianathan, ada beberapa pemain import yang mengikuti sesi ujian bersama pasukan. Namun, beliau hanya memilih pemain yang sesuai dengan corak permainan yang akan diterapkan oleh pasukan.

    “Jika mereka mampu mewujudkan persefahaman dan etika permainan yang baik, saya pasti akan memilih mereka. Namun, segalanya masih belum pasti.

    “Terdapat beberapa pemain yang akan menjalani sesi ujian bersama kami. Kami perlu memastikan corak permainan mereka bersesuaian dengan pasukan,” tambah Sathia.

    Selain mahu membawa masuk Endrick, pasukan Selangor dikhabarkan mahu mengukuhkan benteng pertahanan dan ketika ini mereka sedang memburu seorang pemain kacukan Vietnam-Republik Czech iaitu Michal Nguyen.

    Jika benar juara 33 kali Piala Malaysia ini membawa masuk Michal Nguyen, ini bermakna mereka telah melepaskan dua pemain import yang mengisi posisi pertahanan tengah sebelum ini iaitu pemain dari Brazil, Willian Pacheco dan pemain dari Sepanyol, Alfonso De La Cruz.

    Baca Juga:Rufino Segovia Sasarkan Satu Piala Musim Hadapan

    Leave a comment

    Your email address will not be published.