• Naib juara Liga Perdana musim ini, Felcra FC tidak melupakan tanggungjawab yang harus diselesaikan oleh mereka apabila pihak pengurusan pasukan mengambil langkah untuk melangsaikan tunggakan gaji para pemain dan pegawai pasukan sebelum menutup sepenuhnya operasi pasukan.

    Bekas ketua pasukan Felcra, Shahrom Kalam berasa lega apabila Felcra berpegang teguh kepada janji yang diutarakan oleh pengurusan pasukan sebelum ini untuk menyelesaikan segala tunggakan gaji yang dipercayai berjumlah RM2 Juta.

    “Syukur mereka tidak lari dari tanggungjawab dan tidak menyusahkan pemain untuk turun naik sana sini menuntut hak. Tunggakan dari September hingga November sudah selesai, tinggal sekarang ni rundingan untuk gaji bulan Disember sahaja, terima kasih kepada pengurusan Felcra FC atas sikap professional yang ditunjukkan,” kata Shahrom menurut laporan FOXSport Asia.

    Langkah yang diambil oleh Felcra ini nyata berbeza dengan apa yang dilakukan oleh pasukan lain yang turut berdepan isu tunggakan gaji. Mereka tidak menabur janji manis dan tidak memberi harapan palsu kepada pemain.

    Meskipun menjadi naib juara Liga Perdana dan layak untuk beraksi dalam saingan Liga Super musim hadapan, Felcra terpaksa menarik diri daripada saingan Liga Super Malaysia kerana kekangan kewangan yang tidak dapat dielakkan.

    Semalam, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mendedahkan beberapa pasukan masih lagi gagal untuk menyelesaikan tunggakan gaji pemain dan pegawai pasukan meskipun telah diarahkan untuk berbuat demikian. Antara pasukan yang masih gagal untuk melunaskan tunggakan gaji ialah Kuantan FA yang telahpun dibubarkan, Pulau Pinang, Terengganu City FC dan pasukan DBKL FC.

    Apa yang pasti, empat pasukan yang disebut diatas mampu untuk menyelesaikan tunggakan gaji pemain dan pegawai pasukan dengan secepat yang mungkin. Jika tidak dapat menyelesaikan tunggakan gaji secara keseluruhan, pengurusan pasukan boleh membayar secara berperingkat.

    Jika masih tiada sebarang maklum balas atau tindakan daripada keempat-empat pasukan ini, maka FAM selaku badan induk bola sepak negara perlu mengambil tindakan tegas dan tidak boleh memberikan peluang lagi kepada mereka.

    Baca Juga: Pemain Naturalisasi Harus Berkualiti

    Leave a comment

    Your email address will not be published.