• Pemain sayap pasukan kebangsaan, Mohamadou Sumareh beranggapan cuaca sejuk di Hanoi ketika ini memberi kelebihan buat para pemain menjelang aksi perlawanan akhir kedua saingan Piala AFF Suzuki 2018 menentang Vietnam malam ini.

    Pemain berusia 26 tahun ini enggan menjadikan cuaca sebagai penghalang untuk para pemain menampilkan aksi terbaik.

    Menurut laporan Stadium Astro, para pemain sedikit bergelut untuk menyesuaikan diri ketika sesi latihan semalam.

    “Ya boh… cuaca di sini sejuk. kami juga boleh menyesuaikan diri. Dalam aksi cuaca sejuk sebegini, kami akan kurang berasa letih berbanding bermain dalam cuaca panas.

    “Oleh itu, kami berpeluang untuk meningkatkan permainan. Saya percaya ia bukan alasan untuk kami tidak menampilkan aksi yang baik,” kata Sumareh.

    Pada perlawanan malam ini, Sumareh akan kembali bergandingan dengan Syahmi Safari di bahagian kanan selepas pertahanan muda Selangor itu terlepas perlawanan akhir pertama kerana penggantungan satu perlawanan..

    Ketiadaan Syahmi sedikit-sebanyak membuatkan Sumareh kurang menyerlah dimana pada Selasa lalu beliau digandingkan dengan pemain Perak, Amirul Azhan Aznan.

    Oleh sebab itu, beliau mahu beraksi sehabis baik bagi memastikan Malaysia memadam kelebihan yang dimiliki oleh Vietnam dan menjulang trofi Piala AFF di bumi Hanoi.

    “Kami tiba di sini dengan satu misi, iaitu untuk mencapai kemenangan. Vietnam mempunyai kelebihan besar, jadi kami tiada pilihan melainkan menghasilkan kemenangan. Apa pun boleh terjadi,” tambah Sumareh.

    Setakat ini, Sumareh masih lagi belum menjaringkan sebarang gol dalam saingan Piala AFF dan perlawanan terakhir di Hanoi ini menjadi pentas terbaik untuk beliau mengakhiri kemarau jaringan sekaligus menjadi sebahagian daripada sejarah bola sepak negara.

    Sumareh hanya terlepas satu perlawanan iaitu perlawanan menentang pasukan Laos di peringkat kumpulan. Pemain Pahang ini menampilkan aksi yang baik dimana beliau kerap kali mengkucar-kacirkan barisan pertahanan lawan.

    Apa yang pasti, diharapkan Sumareh dapat mengekalkan momentum sekaligus membantu jentera serangan negara merobek benteng pertahanan Vietnam dan muncul juara Piala AFF Suzuki buat kali kedua.

    Baca Juga: Manfaatkan Situasi Bola Mati – Shahrul Saad

    Leave a comment

    Your email address will not be published.