• Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) akan mengadakan perbincangan dengan Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional (PFAM) dan wakil setiap persatuan negeri serta kelab bagi membincangkan isu klausa perpindahan pemain bagi mengelakkan isu sama timbul pada masa akan datang.

    Kita sedia maklum masalah perpindahan pemain dalam saingan Liga Malaysia terjadi setiap tahun dan kebanyakkannya berkisar tentang penebusan kontrak serta beberapa klausa lain yang ada dalam kontrak semasa.

    Isu ini boleh berlaku apabila pihak pengurusan ataupun pemain itu sendiri tidak memahami atau keliru dengan klausa yang ditetapkan sehingga menyukarkan pemain untuk menyertai kelab baharu.

    Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam berkata pihaknya akan mengadakan pertemuan dengan semua pihak yang terlibat untuk mengkaji setiap klausa yang terdapat di dalam kontrak agar masalah seperti itu tidak berulang pada masa akan datang.

    “Kita akan kaji semula klausa-klausa yang ada di dalam kontrak pemain supaya ia menjadi lebih ‘debatable’ kepada semua pihak.

    “Saya tidak boleh ulas lanjut mengenai isu kontrak semasa pemain kerana ini kali pertama saya berdepan isu ini tetapi kemungkinan ada berlaku kekeliruan dalam klausa pemain, mungkin dahulu pengurusan lama yang adakan kontrak itu dan pengurusan baharu tidak begitu jelas dalam perkara ber­kenaan, kemungkinan se­perti ini memang ada.

    “Jadi, kami akan bertemu dengan PFAM dan semua kelab untuk keluarkan atau perbaiki klausa-klausa di dalam kontrak pemain supaya perkara menjadi lebih jelas untuk semua,” katanya ketika dihubungi Utusan.

    Ketika ini, isu melibatkan perpindahan Akhyar Rashid menjadi perbalahan di antara Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) dan Johor Darul Ta’zim (JDT) berpunca daripada perkara penebusan kontrak.

    FAM sebelum ini mengumumkan Akhyar boleh me­nebus baki kontraknya selama setahun bernilai RM210,000 kepada KFA bagi memboleh­kan dia bergelar ejen bebas.

    Selepas bergelar ejen bebas, mana-mana pasukan yang ingin mendapatkan khidmatnya perlu melunaskan RM75,000 kepada KFA sebagai pampasan untuk latihan dan pembangunan. Namun, isu ini semakin hari semakin rumit dan memasuki babak yang baru.

    Baca Juga: Piala Dunia ? Jauh Lagi – B.Sathianathan

    Leave a comment

    Your email address will not be published.