• Penjaga gol pasukan kebangsaan, Farizal Marlias percaya dengan kemampuan rakan sepasukan untuk terus berjuang menjelang perlawanan akhir kedua menentang Vietnam di Hanoi pada Sabtu ini.

    Beberapa pemain dihimpit dengan masalah kecederaan sehingga menyebabkan mereka terlepas perlawanan akhir pertama di Bukit Jalil pada Selasa lalu. Namun Farizal tidak melihat perkara itu sebagai masalah besar buat pasukan negara.

    “Untuk saya ketiadaan Aidil (Zafuan Abd Radzak) atau Syahmi (Safari) tidak membawa masalah kerana saya percaya kepada kemampuan rakan sepasukan dan kami juga tidak kisah siapa yang diturunkan atau tidak,” kata Farizal menurut laporan Berita Harian.

    Aidil Zafuan dan seorang lagi pemain pertahanan, Syazwan Andik terpaksa diketepikan pada perlawanan akhir pertama kerana masalah kecederaan manakala Syahmi Safari pula digantung satu perlawanan ekoran kad merah yang diterimanya pada perlawanan separuh akhir kedua di Bangkok minggu lalu.

    Tambah Farizal, beliau tidak menolak sebarang kemungkinan ada beberapa kelemahan yang perlu diperbaiki oleh pemain negara terutama dari segi penguasaan bola.

    “Kami mudah hilang bola, tetapi kami juga berjaya merampasnya secepat mungkin sebaik kehilangannya.

    “Ini adalah kesilapan kecil yang mampu menghukum kami, jadi saya berharap kami berjaya mengatasinya, membaiki taktikal permainan dan tidak lagi mengulangi kesilapan sama,” tambah penjaga gol Johor Darul Ta’zim itu.

    Farizal juga tidak menolak kemungkinan pasukan negara mampu untuk membenam cabaran Vietnam dan menjulang trofi tersebut buat kali kedua dalam sejarah pertandingan dwi tahunan itu.

    “Tiada apa yang mustahil kerana kami pernah melakukannya. Kami tewas di laman sendiri dan kemudiannya kami memenangi di tempat lawan.”

    Apa yang pasti, tugas getir sememangnya menanti pemain skuad kebangsaan untuk memadam kelebihan yang dimiliki oleh The Golden Dragons. Jika para pemain menampilkan aksi terbaik mereka pada Sabtu ini, tidak mustahil mereka boleh membalas dendam di atas kekalahan di peringkat kumpulan sekaligus memenangi trofi yang kali terakhir pulang ke bumi Malaysia pada tahun 2010 lalu.

    Baca Juga: Adam Nor Azlin Wajar Diberikan Peluang

    Leave a comment

    Your email address will not be published.