• Geng EGM atau yang lebih sinonim dengan panggilan Geng Derhaka nampaknya masih belum berputus asa dalam usaha mereka mahu menjadi “sebahagian” daripada pengurusan Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS).

    Sebelum ini, Setiausaha Agung FAS, Dr Johan Kamal Hamidon menyatakan Kongres Luar Biasa yang diadakan oleh Geng Derhaka ini tidak disahkan oleh Pesuruhjaya Sukan, Datuk Zaiton Othman menerusi surat bertarikh 17 Disember 2018.

    Namun, bekas Exco FAS, Datuk Ariffin Abdul Hamid berkata kenyataan Johan adalah tidak tepat dan tidak berasas, justeru meminta Johan memahami dengan betul isi kandungan surat daripada Pesuruhjaya Sukan itu.

    “Saya rasa Dr Johan salah baca surat, atau salah faham. Pesuruhjaya Sukan tidak cakap pun EGM itu tidak sah, tetapi mereka menyatakan ada keraguan dalam proses memanggil EGM dan tidak dapat mengesahkan laporan Maklumat Yang Kena Beri (MYKB).

    “Geng 52 dinasihatkan merujuk kepada Jawatankuasa atau Badan Pengelola mengikut prosedur dalaman yang ditetapkan oleh peraturan-peraturan, dan menghormati nasihat itu, kami akan membawa isu ini untuk diselesaikan di peringkat lebih tinggi.

    “Dr Johan harus faham maksud surat tersebut dan beliau harus betulkan kenyataan yang dibuat sebelum ini. Beliau menyampaikan kenyataan yang tidak betul.

    “EGM tidak sah dan Pesuruhjaya Sukan tidak dapat mengesahkan laporan MYKB adalah dua benda berbeza. Kami akan menjawab surat PJS kerana dua alasan yang diberi mereka tidak ada kena mengena dengan pengesahan EGM FAS tempoh hari,” kata Datuk Ariffin menurut laporan FOXSport Asia.

    FAS di bawah pimpinan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah telah mengambil keputusan untuk memecat 43 ahli daripada Geng Derhaka ini kerana tidak sehaluan dengan nilai diri dan impian untuk merevolusikan bolasepak Selangor.

    Entah apa yang diperjuangkan oleh Geng 52 ini sehinggakan mereka tidak berputus asa untuk menjalankan agenda mereka yang tersendiri. Nak dikatakan Selangor memenangi kejuaraan di peringkat Asia sewaktu mereka berada dalam FAS, tidak juga.

    Nak kata Selangor menjadi pasukan paling maju dalam Liga Malaysia dengan memiliki fasiliti serta kemudahan bertaraf dunia, pun tidak juga. Bahkan mereka dihalau daripada kandang yang sudah sinonim dengan mereka sebelum ini. Secara jujurnya, tiada apa yang nak dibanggakan.

    Sudah-sudahlah. Hentikanlah segala usaha anda yang sia-sia ini. Biarlah FAS ditadbir oleh individu yang benar-benar mahu memajukan bola sepak Selangor.

    Nota: Penulisan ini adalah pendapat murni daripada penulis dan Inikan Bola hanya bertindakn sebagai platform penyampaian sahaja.

    Baca Juga: Geng Derhaka Mahu Saman Tengku Amir Shah

    Leave a comment

    Your email address will not be published.