• Wira pasukan Perak ketika perlawanan akhir Piala Malaysia 2018 menentang pasukan Terengganu FC, Hafizul Hakim kekal beraksi bersama pasukan tersebut sehingga tahun 2020.

    Menurut Hafizul, pada mulanya beliau merancang untuk beraksi bersama pasukan lain pada saingan musim 2019 namun perkara itu tidak menjadi kenyataan lantas beliau mengambil keputusan untuk kekal bersama Perak.

    “Tawaran memang ada dan saya berhasrat berhijrah ke luar negara tetapi perancangan di pihak pasukan berkenaan (kelab Thailand) tidak menjadi dan saya ambil keputusan kekal bersama Perak,” katanya menurut laporan Berita Harian.

    Tambah Hafizul, beliau yakin dengan kredibiliti yang dimiliki oleh ketua jurulatih, Mehmet Durakovic pasukan Perak mampu untuk memenangi trofi Liga Super dan Piala FA setelah berjaya membawa pulang trofi Piala Malaysia musim ini.

    “Saya lebih suka status pasukan bukan pilihan kerana penyokong tidak terlalu menaruh harapan dan ini yang berlaku pada musim lalu hingga kami berjaya ke perlawanan akhir dan menjuarai Piala Malaysia.

    “Setiap pertandingan ada tekanan, saya sendiri sebagai penjaga gol memang sering mengalaminya. Contoh pada final Piala Malaysia lalu di mana dua kesilapan saya menyebabkan kami bolos dua gol dan saya harap ia tidak berlaku lagi tahun depan.” tambah Hafizul Hakim.

    Penjaga gol berusia 25 tahun ini membuat dua kesilapan besar yang hampir meragut impian skuad The Boss Gaurus untuk menjulang trofi Piala Malaysia 2018 pada perlawanan akhir menentang pasukan Terengganu FC.

    Akan tetapi, beliau kemudiannya menebus semula kesilapan yang dilakukan apabila menyelamatkan sepakan penalti yang diambil oleh Igor Zonjic dan Thierry Chanta-Bin dalam penentuan sepakan penalti sekaligus memberikan kejuaraan pertama dalam tempoh 18 tahun bagi pasukan Perak.

    Hafizul bakal menjadi salah satu penjaga gol utama pasukan kebangsaan pada masa akan datang dan beliau perlu mengekalkan momentum semasa bersama Perak bagi memastikan tempat beliau tidak digugat oleh penjaga gol yang lain.

    Hafizul Hakim menjadi salah satu penjaga gol yang disenaraikan dalam skuad Piala AFF Suzuki baru-baru ini namun beliau hanya memanaskan bangku simpanan.

    Baca Juga: Shahrel Fikri Dan Hafiz Ramdan Sertai Perak

    Leave a comment

    Your email address will not be published.