• Bersaksikan gegak gempita hampir 87541 penyokong Harimau Malaya di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Sabtu lalu, pasukan Malaysia berjaya mempersembahkan satu gaya permainan bolasepak yang jarang-jarang dapat kita saksikan. Seakan-akan kuku dan taring harimau berjaya diketahui fungsinya dan bila waktu yang sesuai untuk memanfaatkannya.

    Umum mengetahui, pasukan bolasepak Malaysia pada kebiasaannya bermain bolasepak tanpa falsafah yang jelas. Khususnya pada kejohanan Piala AFF Suzuki edisi ini, gaya permainan pasukan Malaysia pada tahap biasa-biasa sahaja.

    Tambah pula, apabila bertemu pasukan yang rendah tahapnya seperti Kemboja dan Laos, pasukan Malaysia masih terkial-kial mencari rentak permainan. Namun, lain pula cerita pada perlawanan Separuh Akhir Pertama menentang Thailand.

    Anak-anak buah Tan Cheng Hoe seakan-akan faham tentang halatuju permainan dan peranan setiap pemain. Walaupun perlawanan berkesudahan seri 0-0, rata-rata penyokong berpuas hati dan kagum akan persembahan yang dicorakkan Tan Cheng Hoe terhadap keseluruhan bahagian pasukan Malaysia.

    Berbicara mengenai rumusan perlawanan semalam, Malaysia menguasai sebahagian besar permainan terutamanya pada separuh masa pertama. Hantaran-hantaran pendek yang disudahkan oleh para pemain membuatkan tempo permainan tampak menarik.

    Hantaran lintang yang berbahaya juga kadang-kadang mampu membuat penjaga gol Thailand tidak senang duduk. Selain itu, ada beberapa peluang menjaringkan gol untuk Malaysia menerusi Muhamadou Sumareh, Norshahrul Idllan dan Safawi Rashid tapi sedikit tersasar.

    Setiap department berfungsi dengan baik pada malam itu. Benteng pertahanan berjaya mengekang asakan attacking forces pasukan Thailand. Kombo defensive midfielder Malaysia berjaya menyekat serangan pihak lawan di samping menghantar bola kepada attacking forces Malaysia.

    Pemain sayap Malaysia sambil dibantu overlapping dari bek kiri/kanan juga acapkali berjaya mengkucar-kacirkan benteng pertahanan Thailand. Tinggal lagi, pasukan Malaysia ada sedikit kekurangan dari aspek penyudah. Ada satu atau dua peluang keemasan untuk menjaringkan gol tetapi tidak dimanfaatkan sepenuhnya. Maka disebabkan itu, pasukan Malaysia terpaksa menghadapi asakan di tempat lawan nanti tanpa ada secebis bekalan gol.

    Mencongak dari aspek peluang Malaysia di separuh akhir Kedua nanti, kita terpaksa akur bahawa ia adalah satu misi yang sukar tetapi ia bukanlah misi mustahil. Secara peribadi, saya katakan Thailand ada kelebihan di pihak mereka dan Malaysia ada kelebihan di pihak kita.

    Kelebihan Thailand adalah mereka bakal beraksi di laman sendiri dan hanya memerlukan sekurang-kurangnya kemenangan 1-0 untuk melayakkan diri. Di kem Malaysia pula, kita memerlukan sekurang-kurangnya kemenangan 1-0 ataupun sebarang keputusan seri dengan jaringan. JikaMalaysia berjaya menjaringkan satu gol awal di tempat lawan ia sudah cukup untuk memberi tekanan kepada para pemain Thailand.

    Seperti yang tertera di banner Ultras Malaya “JANGAN GENTAR KITA LAWAN”, semangat itulah yang perlu dihadam kemas di dalam jati diri setiap pemain Harimau Malaya. Peluang masih terbuka dan kita punya 90 minit lagi waktu berlawan di Stadium Rajamangala. Perjuangan kita belum selesai, perjuangan Malaysia masih belum selesai. Selamat maju jaya Malaysiaku!

    Nota: Artikel ini ditulis oleh Saudara Zul Effandi. Jika anda mempunyai bahan penulis yang mahu dikogsikan bersama peminat bola sepak Malaysia, hubungi laman media sosial Inikan Bola.

    Baca Juga: Perbaiki Kelemahan Jentera Serangan – Khalid Ali

    Leave a comment

    Your email address will not be published.