• Skuad Harimau Malaya berjaya menjejakkan kaki ke pentas perlawanan akhir Piala AFF Suzuki 2018 setelah menewaskan pasukan Thailand dengan kelebihan jaringan di tempat lawan pada perlawanan separuh akhir kedua sebentar tadi.

    Thailand nyata turun lebih garang apabila mereka tidak membuang masa dengan terus memberi asakan ke kubu pertahanan negara. Usaha berterusan Thailand membuahkan hasil apabila percubaan pemain mereka tertampam Irfan Zakaria sekaligus menerjah gol sendiri.

    Walaupun dibolosi, namun para pemain negara tidak berputus asa untuk menyamakan kedudukan. Pemain muda, Syahmi Safari kemudiannya menggembirakan penyokong Malaysia apabila percubaan dari jarak jauh beliau berjaya menerjah gawang Chatchai Budprom. Separuh masa pertama tamat dengan kedudukan 1-1.

    Memasuki separuh masa kedua, Thailand terus mengasak kubu pertahanan negara dan mereka berjaya menjaringkan gol kedua apabila Pansa Hemviboon menanduk masuk bola setelah keadaan sedikit kelam-kabut dalam kotak penalti Malaysia.

    Namun, Norshahrul Idlan Talaha menjadi penyelamat apabila beliau menjaringkan gol kedua Malaysia hasil daripada hantaran Syamer Kutty Abba dari sebelah kanan.

    Pada penghujung perlawanan, Thailand diberikan sepakan penalti apabila Syahmi Safari menampan bola di dalam kotak penalti. Penjaring gol pertama Malaysia ini kemudiannya dibuang padang.

    Ketika Thailand menyangka mereka sudah menjejakkan kaki ke perlawanan akhir, Adisak Kraisorn nyata mengecewakan mereka apabila gagal menyempurnakan sepakan penalti sekaligus mengekalkan kedudukan 2-2.

    Pengadil kemudiannya meniupkan wisel penamat sekaligus mengesahkan kemaraan Malaysia ke pentas final.

    Harimau Malaya berjaya membalas dendam di atas kekalahan pada edisi 2012 apabila Thailand menewaskan Malaysia di pentas sama. Lawan pasukan negara pada perlawanan akhir akan ditentukan pada esok apabila pasukan Vietnam dan Filipina berentap.

    Baca Juga: Jangan Sia-Siakan Peluang – Lim Chan Yew

    Leave a comment

    Your email address will not be published.