• Bekas pengendali pasukan Kuantan FA, Ismail Zakaria mahukan Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP) untuk campur tangan dalam isu tunggakan gaji pasukan berkenaan.

    Ismail berkata demikian kerana Kuantan FA berada di bawah ahli gabungab persatuan itu dan mengelakkan daripada Kuantan mengambil sikap sambil lewa dalam melunaskan gaji pemain.

    Jurulatih yang pernah membimbing pasukan Kuala Lumpur ini terdahulu berasa lega dengan keputusan yang diambil oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

    “Saya gembira (keputusan Jawatankuasa Tatatertib) dengan arahan supaya Kuantan FA selesaikan tunggakan gaji saya, tetapi saya rasa mereka takkan bayar dan ikut arahan FAM.

    “Ini bukan pertama kali, bahkan sudah berkali-kali Kuantan FA ingkar arahan FAM. Dulu musim 2017, mereka juga mengalami masalah tunggakan gaji namun senyap tak bayar apa-apapun.

    “Musim 2018 pula, ketika saya membimbing pasukan isu sama berulang dan sekarang FAM arahkan mereka bayar. Macam mana Kuantan FA nak bayar kalau mereka sendiripun tidak ada duit.”

    “Jadi saya lihat jalan terakhir untuk mengatasi isu ini ialah PBNP kena bantu selesaikan masalah ini kerana Kuantan FA adalah kelab di bawah PBNP.

    “Saya rasa itu yang sebaiknya FAM patut fikirkan dan bukan tunggu dan terus menunggu. Saya dan bekas pemain Kuantan FA mengharapkan tindakan lebih berani dan serius daripada FAM untuk selesaikan isu ini,” katanya ketika dihubungi Berita Harian.

    Ismail Zakaria menjadi penuntut dengan jumlah terbesar dengan RM300,000 membabitkan tunggakan gaji sebanyak RM100,000 dan pampasan baki kontrak sebanyak RM200,000.

    Sebelum ini, keputusan mesyuarat Jawatankuasa Tatatertib FAM kali kesembilan, Kuantan FA dan pasukan Pulau Pinang diarahkan segera melunaskan tunggakan gaji membabitkan jumlah keseluruhan RM1.72 juta bagi Kuantan dan RM497,000 kepada skuad Harimau Kumbang.

    Isu ini turut mendapat perhatian Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) yang mahu kedua-dua kelab berkenaan segera menyelesaikan kes tunggakan gaji itu sebelum bermulanya saingan baharu Liga Malaysia (Liga M) musim depan.

    Baca Juga: Contohi Langkah Yang Diambil Felcra FC

    Leave a comment

    Your email address will not be published.