• Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin menggesa untuk para pemain tidak terlalu kecewa dan meneruskan perjuangan dalam perlawanan akhir Piala AFF Suzuki 2018 menentang pasukan Vietnam.

    Pada perlawanan akhir pertama semalam, Malaysia berjaya memperoleh keputusan seri 2-2 dan keputusan ini nyata memberi kelebihan buat pasukan Vietnam dimana mereka hanya memerlukan keputusan seri tanpa jaringan di Hanoi pada Sabtu ini untuk muncul sebagai juara.

    “Walaupun kita seri di laman sendiri, saya berharap Cheng Hoe, pemain, barisan kejurulatihan dan pegawai akan terus bersemangat untuk berjuang bagi menghadapi aksi di Hanoi nanti.

    “Jangan terlalu kecewa, peluang masih terbuka. Kita perlu terus fokus dan berfikiran positif kerana masih ada baki 90 minit lagi untuk memastikan Malaysia dapat menjulang trofi Piala Suzuki AFF buat kali kedua dalam sejarah.

    “Terus berjuang Harimau Malaya!,” katanya menurut laporan Berita Harian.

    Pada perlawanan semalam, Malaysia terlebih dahulu ketinggalan apabila Vietnam berjaya menjaringkan dua gol dalam tempoh masa lima minit. Sebelum separuh masa pertama tamat, Shahrul Saad berjaya merapatkan kedudukan apabila beliau bijak menanduk masuk bola hasil daripada sepakan percuma yang diambil oleh Syamer Kutty Abba.

    Pemain sayap negara, Safawi Rasid kemudiannya menggembirakan puluhan ribu penyokong yang hadi di Stadium Nasional Bukit Jalil apabila sepakan percuma menarik beliau terus menerjah gawang pasukan Vietnam. Keputusan seri 2-2 kekal sehingga pengadil meniupkan wisel menandakan permainan telah tamat.

    Pada masa yang sama, Datuk Hamidin Mohd Amin juga memberikan penghargaan kepada penyokong bola sepak tempatan di seluruh negara yang sentiasa berada di belakang pasukan kebangsaan.

    “Terima kasih buat semua penyokong pasukan bola sepak Malaysia terutama Ultras Malaya yang hadir ke Stadium Nasional, Bukit Jalil, bagi memberikan sokongan padu buat skuad Harimau Malaya.

    “Tidak lupa buat seluruh rakyat Malaysia yang sama-sama menonton menerusi siaran langsung di televisyen dan turut mendoakan kejayaan skuad Harimau Malaya untuk memburu kejuaraan Piala Suzuki AFF 2018 ini,” tambahnya.

    Baca Juga: Adam Nor Azlin Wajar Diberikan Peluang

    Leave a comment

    Your email address will not be published.