• Presiden Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia (PJBM), B. Sathianathan menasihatkan rakan sejawatnya dalam saingan Liga Malaysia untuk tidak memanjakan pemain skuad kebangsaan yang beraksi dalam saingan Piala AFF Suzuki baru-baru ini.

    Hal ini bertujuan untuk memastikan mereka kekal sebagai “generasi emas” dan para pemain ini sentiasa berada dalam keadaan terbaik apabila pasukan negara memerlukan khidmat mereka.

    “Ini adalah pasukan terbaik dimiliki negara, malah, saya puji keupayaan jurulatih tempatan seperti Tan Cheng Ho yang berjaya membawa pasukan sejauh ini.

    “Mereka adalah generasi emas yang harus dikekalkan dan selepas ini apabila liga bermula maka tugas menjaga pemain terserah kepada pasukan dan kelab, diharap semua pemain negara tidak dimanjakan agar mereka tidak besar kepala dan sentiasa berada di tahap terbaik apabila bersama pasukan kebangsaan,” katanya kepada Utusan.

    Rata-rata pemain skuad kebangsaan yang disenaraikan menampilkan persembahan cemerlang dalam saingan Piala AFF edisi kali ini. Pemain seperti Akram Mahinan, Syamer Kutty Abba, Shahrul Saad dan pemain muda, Syahmi Safari antara pemain yang paling menonjol dan menjadi nadi utama pasukan negara dalam saingan itu.

    Aksi keempat-empat pemain yang disebutkan di atas sudah pasti dinanti-nanti para peminat sama ada mereka mampu untuk mengekalkan momentum cemerlang bersama pasukan negeri/kelab atau sebaliknya.

    Pada masa yang sama, Sathia juga menyeru agar ketua jurulatih pasukan negara, Tan Cheng Hoe diberi peluang kedua untuk terus mengendalikan pasukan negara pada kejohanan antarabangsa yang akan datang serta membuktikan keupayaan beliau bersama pasukan kebangsaan.

    “Cheng Ho adalah jurulatih tempatan yang berkualiti dimiliki negara, malah, dia juga berjaya membantu pasukan menewaskan Thailand yang dibimbing bekas jurulatih Ghana dalam Piala Dunia.

    “Corak permainan pasukan juga sudah menjadi lebih tersusun ketika ini dan mengapa kita perlu menukar jurulatih jika kita mempunyai jurulatih hebat ini,” tambah Sathia.

    Malaysia muncul sebagai naib juara Piala AFF Suzuki 2018 apabila tunduk kepada pasukan Vietnam dengan keputusan 3-2 secara agregat.

    Baca Juga: Lee Tuck Menyarung Jersi Harimau Malaya ?

    Leave a comment

    Your email address will not be published.