• Presiden Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia (PJBM), B.Sathianathan menyeru agar semua pihak tidak menyalahkan pemain muda negara, Akhyar Rashid yang mahu menyertai juara Liga Super musim ini, Johor Darul Ta’zim.

    Menurut Sathia, semua pemain muda di dalam negara sudah pasti memasang impian untuk beraksi bersama juarablima kali Liga Super itu kerana fasiliti yang disediakan.

    “Terus terang saya katakan semua pemain di negara ini akan mimpi untuk ke JDT kerana kalau saya sebagai seorang pemain pun saya tidak teragak-agak (menerima) kalau mendapat tawaran JDT.

    “Mereka (JDT) memiliki kemudahan yang baik, pemain yang bagus, tiada masalah gaji, tiada masalah bonus, ada pemain import yang baik, boleh main di Liga Juara-Juara Asia dan banyak lagi.

    “Tunku Ismail Sultan Ibrahim (pemilik JDT) sudah bagi semuanya, apa lagi yang pemain mahu? Bagi kes Akhyar, terpulang kepada dia, tapi anda tidak boleh salahkan dia jika dia nak ke JDT,” katanya menurut laporan Berita Harian.

    Isu perpindahan Akhyar ke JDT menjadi topik panas yang masih belum menemui titik noktah sehingga kini. Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) mendakwa JDT tidak mengadakan perbincangan lanjut dengan mereka sedangkan pemain itu masih memiliki kontrak setahun bersama Helang Merah.

    Malah, KFA juga tidak berpuas hati dengan nilai pampasan sebanyak RM75,000 yang diputuskan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk mendapatkan pemain Harimau Malaya itu.

    Menerusi keputusan mesyuarat Jawatankuasa Status FAM, awal bulan ini juga menyaksikan Akhyar dibenarkan untuk menebus kontraknya sebanyak RM210,000 bersama KFA.

    Apa yang pasti, FAM perlu memperhalusi perkara ini agar ianya tidak berulang lagi pada masa hadapan. Badan induk ini perlu mengkaji segala klausa mengenai kontrak dan perpindahan pemain.

    Baca Juga: FAM Mahu Buang Klausa Tidak Penting

    Leave a comment

    Your email address will not be published.