• Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin menasihati para pemain agar menjauhi media sosial.

    Datuk Hamidin berpendapat media sosial boleh menjadi pengacau kepada persiapan pasukan kebangsaan menjelang perlawanan akhir pertama saingan Piala AFF Suzuki 2018 di Stadium Nasional Bukit Jalil Selasa ini.

    “Saya ingatkan pemain supaya tidak meraikan apa-apa kerana kita belum lagi sampai ke penghujungnya. Lupakan segala perkara yang tidak berkaitan.

    “Saya juga mahu mereka tidak terlalu melihat media sosial kerana bimbang akan mendatangkan masalah. Kalau terlalu memuji pun jadi masalah, dan kalau tidak memuji pun akan jadi masalah juga.

    “Dua perkara ini yang saya rasa amat mustahak kepada pemain. Harus diingat, kita hanya seri ketika menentang Thailand dan jika kita sekadar menjadi naib juara, kita terlepas peluang untuk mencipta sejarah,” katanya kepada Berita Harian.

    Pada masa yang sama, Datuk Hamidin yakin para pemain tidak akan terjejas dengan sebarang bentuk tekanan yang dirasai sambil mengakui perkara sedemikian adalah biasa dalam dunia bola sepak.

    “Semua pihak, tak kira bawahan mahupun atasan mahu memberikan sokongan kepada pasukan dan sentimen sebegini bagus untuk bola sepak. Sudah tentu mereka inginkan kita menjadi juara.

    “Bagaimanapun, saya tahu pemain sudah matang dan cukup faham untuk mengendalikan tekanan yang ada,” tambahnya.

    Malaysia akan menerima kunjungan pasukan Vietnam di Bukit Jalil pada Selasa ini sebelum berkunjung ke Hanoi pada 15 Disember bagi menempuhi perlawanan kedua.

    Pada perlawanan di peringkat kumpulan A, pasukan bimbingan Tan Cheng Hoe tewas dengan keputusan 2-0 dan pentas final mahu digunakan oleh pemain negara khususnya Norshahrul Idlan Talaha bagi membalas dendam di atas kekalahan tersebut.

    Baca Juga: Berjuang Mati-Matian Jika Perlu – Sumareh

    Leave a comment

    Your email address will not be published.