• Pemain tengah Johor Darul Ta’zim, Nazmi Faiz Mansor mengatakan pasukannya mahu mengekalkan penguasaan dalam saingan Liga Super dan mereka enggan membiarkan pasukan lain merampas mahkota mereka.

    Menurut Nazmi, penguasaan dalam saingan Liga Super tetap menjadi keutamaan meskipun mereka akan beraksi dalam saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) musim hadapan.

    “Kami sentiasa mencipta sejarah selama ini dan visi ini perlu dikekalkan. Selain menjadi pasukan pertama dari Malaysia bermain di ACL, impian untuk menjuarai Liga Super buat kali keenam berturut-turut menjadi keutamaan kami. Saya bangga menjadi sebahagian dari projek besar ini.

    “Alhamdulillah semua berjalan dengan lancar tetapi masih banyak yang perlu dipertingkatkan dari segi taktikal kerana skuad ini belum lengkap sepenuhnya.

    “Kami akan menghadapi perlawanan pramusim bulan hadapan sebagai persiapan terakhir untuk mengharungi musim 2019,” kata Nazmi.

    JDT akan beraksi dalam saingan ACL setelah mereka muncul sebagai juara saingan Liga Super musim ini. Pada 2015 lalu, mereka berjaya mengejutkan bola sepak Asia apabila muncul juara saingan Piala AFC.

    Dalam Saingan Liga Juara-Juara Asia tahun depan, JDT diundi dalam kumpulan E bersama kelab Korea Selatan, Gyeongnam FC. Dua lagi slot akan diisi pemenang ‘play-off’ bagi Zon Timur.

    Setakat ini, pasukan bimbingan Luciano Figueroa ini telah membawa masuk dua pemain import bagi mengukuhkan pasukan. Dua pemain yang dimaksudkan ialah pemain pertahanan, Mauricio dos Santos dan pemain tengah yang juga abang bintang Atletico Madrid, Saul Niguez iaitu Aaron Niguez.

    Selain membawa masuk pemain import, JDT juga mahu membawa masuk pemain tempatan dimana mereka ketika ini sedang mengadakan rundingan dengan pemain muda negara, Akhyar Rashid.

    Baca Juga: Jangan Salahkan Akhyar – B.Sathianathan

    Leave a comment

    Your email address will not be published.