• Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) masih lagi mencari pengganti kepada ketua jurulatih sebelumnya, Yusri Che Lah yang mengambil keputusan untuk membimbing pasukan Kuala Lumpur bagi saingan Liga Malaysia musim hadapan.

    Presidennya, Bibi Ramjani Ilias Khan berkata pada awalnya KAFA sudah mempunyai calon pengganti Yusri namun pihaknya terpaksa melupakan hasrat tersebut kerana jurulatih itu masih mempunyai kontrak dengan orang lain.

    “Dalam situasi ketika ini, kita memberikan kepercayaan kepada beliau untuk melakukan persiapan kepada pasukan berikutan kita hanya mempunyai masa sebulan lagi sebelum sepak mula sebenar.

    “Kami harap masalah ini dapat diatasi dengan secepat mungkin bagi mengelakkan perkara ini menggangu persiapan pasukan,” katanya kepada Utusan.

    Tambah Bibi lagi, buat sementara waktu pengarah teknikal pasukan itu, Jorg Peter Steinebrunner diberikan mandat untuk mengendalikan sesi latihan The Red Warriors buat sementara waktu.

    Kelantan terpaksa berputih mata untuk mendapatkan khidmat Yusri Che Lah setelah bekas pemain skuad kebangsaan itu bertukar angin dengan menerima tawaran daripada Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA) bagi mengendalikan pasukan ibu kota tersebut.

    Perkara ini sedikit-sebanyak mengejutkan KAFA kerana sebelum ini Yusri sudah bersetuju untuk kekal membimbing pasukan tersebut. Yusri diberi tanggungjawab untuk mengendalikan pasukan setelah Fajr Ibrahim hilang tanpa dikesan pada pertengahan musim ini.

    Di bawah bimbingan Yusri, beberapa pemain muda Kelantan tampil dengan menyinar dengan nama-nama seperti Nik Akif Syahiran dan Nik Azli Alias menjadi watak utama pasukan.

    Kelantan akan beraksi dalam saingan Liga Perdana musim hadapan setelah mereka menamatkan saingan Liga Super musim ini di zon penyingkiran. Selain Kelantan yang dihumban ke Liga Perdana, ikut turut serta ialah pasukan Negeri Sembilan.

    Baca Juga: Yusri Che Lah Ketua Jurulatih Kuala Lumpur Yang Baru

    Leave a comment

    Your email address will not be published.