• Pengurus dan ketua jurulatih pasukan Johor Darul Ta’zim, Luciano Figueroa menegaskan pasukan bimbingannya tidak akan menandatangani pemain dari Brazil, Isael Da Silva Barbosa seperti yang digembar-gemburkan sebelum ini.

    Lucho berkata demikian menerusi laman media sosial rasmi pasukan, Johor Southern Tigers dan beliau menambah JDT pernah meninjau Isael sebelum ini namun mereka memutuskan untuk membawa masuk pemain yang sesuai dengan corak permainan yang diterapkan oleh pasukan.

    “Isael Da Silva Barbosa merupakan salah seorang pemain yang pernah kami tinjau sebelum ini. Walau bagaimanapun, kami tidak ada membuat apa-apa tawaran kepada beliau dan kami juga tidak akan menandatangani beliau pada musim ini.

    “Kami sudah mempunyai pemain lain yang lebih sesuai dengan pasukan kami dan bola sepak Asia. Kami berada dalam perbincangan terakhir dan sedang menunggu untuk menyelesaikan beberapa perkara sebelum kami dapat mengumumkan pemain tersebut.

    “Oleh itu, semua khabar angin termasuk ‘transfer markt’ yang mengatakan beliau akan menyertai kami adalah tidak benar sama sekali,” kata Lucho.

    Nama Isael Da Silva Barbosa sebelum ini dikaitkan dengan juara Liga Super musim 2018 itu apabila laman Transfermarkt.com menulis Isael telah bergelar pemain Johor Darul Ta’zim di laman profil pemain ini. Tambahan pula, Isael telah berpisah dengan kelab Kazakhstan, FC Kairat setelah mewakili pasukan itu selama lima musim.

    Nampaknya peminat setia skuad Harimau Selatan ini harus menunggu sedikit lama untuk mengetahui pemain import ketiga yang dibawa masuk oleh pengurusan pasukan menjelang saingan Liga Malaysia musim hadapan.

    Setakat ini, JDT membawa masuk dua pemain import iaitu pemain pertahanan, Maurício dos Santos Nascimento dari Brazil dan pemain tengah, Aaron Niguez dari Sepanyol.

    Pemain import seterusnya harus mempunyai kualiti yang tinggi dan mampu untuk beraksi dengan baik secara konsisten kerana Johor Darul Ta’zim akan beraksi di pentas Liga Juara-Juara Asia (ACL) dan mereka mahu mempertahankan mahkota kejuaraan Liga Super yang dimenangi musim ini.

    Baca Juga: JDT Buka Rundingan Bersama Akhyar Rashid

    Leave a comment

    Your email address will not be published.