• Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) menegaskan mereka tidak akan menyambung kontrak pemain tengah import yang mewakili pasukan musim ini, Liridon Krasniqi bagi saingan Liga Malaysia musim hadapan.

    Menurut KFA, mereka tidak akan berbuat demikian semata-mata mahu membantu Liridon untuk menjadi pemain naturalisasi bagi mewakili pasukan kebangsaan. Sebelum ini, nama Liridon dikatakan berada dalam senarai pendek Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk dijadikan pemain naturalisasi.

    Setiausaha Kehormat KFA, Asmirul Anuar Aris berkata pihaknya tidak mahu menggunakan pemain import yang memerlukan mereka mengeluarkan kos tinggi. Apa yang penting ialah pemain tersebut perlu beraksi dengan baik walaupun baru saja menyertai pasukan.

    “Kita sememangnya tidak menyambung kontrak bersama Liridon Krasniqi dan ia adalah keputusan muktamad.

    “Ini kerana kita melihat daripada keadaan kewangan KFA yang mana kita tidak mahu pengurusan kos menjadi terlalu tinggi (jika mendapatkan khidmat Liridon).

    “Kita lebih cenderung untuk fokus kepada pemain yang boleh bermain dengan baik dan tahap profesionalisme yang tinggi. Itu lebih penting,” katanya menurut laporan Berita Harian.

    Liridon setakat ini telah beraksi selama empat musim bersama pasukan Kedah dan beliau memerlukan satu tahun lagi bagi membolehkan beliau didaftarkan sebagai pemain naturalisasi. Akan tetapi, keputusan KFA untuk tidak menyambung kontrak beliau menjadikan perkara ini sedikit rumit.

    Tambah Asmirul Anuar, selepas KFA membuat keputusan sedemikian, terpulang kepada mana-mana pasukan dalam saingan Liga Malaysia yang mahu menggunakan khidmat Liridon bagi membolehkan beliau menyarung jersi skuad kebangsaan.

    Selain nama Liridon Krasniqi, ada dua lagi nama dalam senarai pendek FAM bagi didaftarkan sebagai pemain tempatan sekaligus membolehkan mereka menyarung jersi Harimau Malaya. Dua nama tersebut ialah pemain tengah Terengganu FC, Lee Andrew Tuck dan penyerang Kuala Lumpur, Guilherme De Paula.

    Sebelum ini, pemain sayap Pahang, Mohamadou Sumareh menjadi pemain naturalisasi pertama dan beliau telahpun mewakili Malaysia di pentas antarabangsa seperti kejohanan Piala AFF Suzuki 2018 yang berakhir minggu lalu.

    Baca Juga: Fernando Rodriguez Senjata Baru Pasukan Kedah

    Leave a comment

    Your email address will not be published.