• Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) akan membuat keputusan mengenai nasib pemain muda mereka, Akhyar Rashid setelah membuat pertemuan dengan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) hari ini.

    Isu mengenai perpindahan Akhyar ini sudah berlangsung selama sebulan dan sehingga kini masih tiada jalan penyelesaian yang diperoleh oleh kedua-dua belah pihak.

    “Hari ini kami mengadakan perbincangan dengan Mesyuarat Jawatankuasa Rayuan FAM untuk membincangkan mengenai kedudukan Akhyar Rashid.

    “KFA (Persatuan Bola Sepak Kedah) akan mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung perkara itu esok,” kata Setiausaha KAFA, Asmirul Anuar Aris kepada Utusan Malaysia.

    KFA sebelum ini menegaskan bahawa pemain berusia 19 tahun ini masih lagi milik mereka kerana beliau mempunyai kontrak yang akan tamat pada 30 November 2019. KFA dikatakan akan membincangkan mengenai pampasan sebanyak RM75,000 yang telah ditetapkan oleh ditetapkan Jawatankuasa Status badan sukan tersebut.

    Setelah FAM mengeluarkan keputusan yang menyebut Akhyar dibenarkan untuk menebus kontrak beliau, dua pasukan telah menunjukkan minat untuk mendapatkan khidmat pemain sayap lincah ini. Juara Liga Super 2018, Johor Darul Ta’zim telah mengadakan rundingan dengan Akhyar.

    Pasukan bimbingan Luciano Figueroa ini bakal beraksi dalam saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) tahun hadapan dan mereka sedang mencari pemain muda berkualiti untuk mengukuhkan lagi pasukan. Satu lagi pasukan yang berminat untuk mendapatkan khidmat Akhyar ialah pasukan yang bakal tampil serba baru pada musim hadapan, Perlis.

    Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) yang diketuai oleh Presiden mereka, Datuk Amizal Shaifit Ahmad Rafie mencuba nasib dengan membuat kunjungan ke rumah pemain itu pada minggu lalu sebagai tanda minat mereka.

    Pada masa yang sama, abang kepada Akhyar, Rafdi Rashid berpendapat adiknya mempunyai hak membuat keputusan dengan menentukan pasukan mana yang akan diwakili oleh beliau dalam saingan Liga Malaysia musim hadapan.

    “Ikut Akhyar nak pergi mana pun, dia ada hak untuk membuat keputusan. Sebagai abang, saya berharap dia membuat keputusan terbaik demi masa depannya,” kata Rafdi.

    Baca Juga: Akhyar Ada Rancangan Tersendiri – Rezal Zambery

    Leave a comment

    Your email address will not be published.