• Kemelut antara Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) nampaknya memasuki babak baru apabila KFA mahu mengheret FAM ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) selepas tidak berpuas hati dengan keputusan badan induk itu menolak rayuan mereka.

    FAM menolak rayuan KFA mengenai jumlah pampasan yang perlu dibayar mana-mana pasukan sekiranya mahu mendapatkan khidmat pemain muda mereka, Akhyar Rashid.

    Setiausaha Kehormat KFA, Mohd Asmirul Anuar Aris menyatakan keputusan yang dibuat FAM itu jelas tidak adil dan pihaknya akan mengemukakan aduan kepada CAS untuk menuntut keadilan.

    “Kami (KFA) nyata kecewa dengan keputusan FAM yang menolak rayuan kami. Sebagai majikan yang masih memegang kontrak sah Akhyar, kami berhak ke atas pemain itu dan akan membawa isu ini ke Mahkamah Timbang Tara Sukan.

    “Negara kita sebuah negara demokrasi, jadi langkah seterusnya perlu demi mendapatkan hak kami ke atas Akhyar,” katanya menurut laporan Berita Harian.

    Sebelum ini, FAM menolak rayuan KFA untuk mendapatkan pampasan yang lebih tinggi daripada mana-mana pasukan yang mahu mengambil khidmat Akhyar Rashid.

    Jawatankuasa Rayuan badan induk itu yang bersidang semalam dan dipengerusikan Datuk Seri Mohd Mokhtar Mohd Shariff memutuskan jumlah pampasan RM75,000 yang ditetapkan Jawatankuasa Rayuan awal bulan ini dikekalkan.

    “Jumlah RM210,000 itu adalah berdasarkan jumlah gaji Akhyar yang didarabkan dengan jumlah baki kontraknya bersama KFA, iaitu mengikut Artikel 15A: Penamatan kontrak secara sebelah pihak atau tebus kontrak oleh pasukan atau pemain.

    “Jumlah RM75,000 pula adalah dibuat berdasarkan kos latihan, kategori kelab yang telah ditetapkan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), iaitu mengikut Artikel 8: Pengiraan Pampasan Latihan Peraturan Status & Perpindahan Pemain FAM,” menurut kenyataan FAM.

    Akhyar difahamkan masih mempunyai kontrak bersama KFA sehingga 30 November 2019 dan nilai baki kontrak atau tebus kontrak dianggarkan sebanyak RM210,000.

    Setakat ini, ada dua pasukan yang menunjukkan minat untuk mendapatkan khidmat Akhyar Rashid. Dua pasukan tersebut ialah Johor Darul Ta’zim dan Perlis.

    Baca Juga: KFA Bakal Putuskan Nasib Akhyar Rashid

    Leave a comment

    Your email address will not be published.