• Adakah pemain tengah import Terengganu FC, Lee Tuck bakal menyarung jersi pasukan kebangsaan dalam masa terdekat ?

    Persoalan tersebut timbul setelah ketua jurulatih pasukan, Irfan Bakti mengungkapkan beliau menyambut baik cadangan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk mendaftar pemain import, Tuck sebagai pemain tempatan.

    Menurut Irfan, pemain kelahiran Halifax, England itu mampu menjadi pemain tengah yang baik jika diberi peluang menyarung jersi skuad negara.

    “Saya dimaklumkan Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin yang meluahkan hasrat untuk mendaftar pemain itu (Tuck) sebagai pemain tempatan.

    “Kami menyambut baik cadangan itu kerana Tuck seorang pemain berkualiti dan mampu menjana dengan berkesan posisi tengah sebagaimana aksinya bersama skuad TFC.

    “Apa yang saya harapkan supaya FAM mempercepatkan urusan berkaitan termasuk taraf kerakyatan Malaysia bagi membolehkan pemain itu didaftarkan sebagai pemain tempatan sekali gus dapat menyarung jersi skuad Harimau Malaya,” kata Irfan Bakti menurut laporan Berita Harian.

    Moyang kepada bekas pemain Negeri Sembilan ini dikhabarkan berasal dari Malaysia dan beliau dijangka menjadi pemain naturalisasi kedua selepas Mohamadou Sumareh yang diberi kerakyatan pada April lalu.

    Lee Tuck beraksi dengan baik dalam saingan Liga Malaysia musim lalu dan beliau diundi sebagai Pemain Paling Popular saingan Liga Malaysia musim 2018. Pemain berusia 30 tahun ini juga mempunyai kelebihan untuk mengambil sepakan percuma dan membuat percubaan dari jarak jauh.

    “Kami harap perancangan FAM itu menjadi kenyataan kerana skuad Harimau Malaya perlu mempunyai pemain berkualiti termasuk pemain naturalisasi untuk melangkah lebih jauh bukan hanya di peringkat Asia Tenggara tapi juga Asia dan seterusnya dunia.

    “Lagipun pemain itu (Tuck) sudah bersetuju untuk menjadi pemain tempatan,” tambah Irfan Bakti.

    Apa yang pasti, banyak aspek yang perlu diperhalusi oleh FAM sekiranya mereka mahu mendaftarkan Tuck sebagai pemain tempatan sekaligus membenarkan beliau untuk menyarung jersi skuad kebangsaan.

    Penulis berpendapat ketika ini pasukan negara mempunyai Syamer dan Akram yang tampil dengan cemerlang dalam saingan Piala AFF Suzuki lalu. Dengan ketibaan Tuck, maka jentera tengah pasukan negara akan menjadi semakin kukuh.

    Baca Juga: Tiada Pemain Tempatan Baru – Dollah Salleh

    Leave a comment

    Your email address will not be published.