• Pemain tengah Terengganu FC, Lee Tuck menyatakan beliau tidak gusar dengan status kuda tua yang diberikan kepada beliau.

    Pemain berusia 30 tahun ini berkata demikian apabila nama beliau berada dalam senarai pendek Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk dijadikan pemain naturalisasi. Meskipun digelar kuda tua, namun Tuck percaya beliau masih mampu untuk menyumbangkan sesuatu.

    “Ya saya dah berumur 30 tahun dan boleh dikatakan berada di hujung karier oleh sesetengah pemain bola sepak profesional. Tapi ingin saya maklumkan umur hanyalah sekadar nombor, saya masih mampu menyumbang tenaga kepada Harimau Malaya seandainya diberi peluang.

    “Malah saya akan rasa teruja dan gembira kerana baharu sahaja merasai musim terbaik terutama bersama TFC. Lamaran FAM ini sudah pasti tidak akan saya tolak kerana percaya saya boleh bantu,” kata Tuck menurut laporan Berita Harian.

    Selain Lee Tuck, ada dua nama lagi yang disebut-sebut bakal didaftarkan sebagai pemain tempatan. Dua pemain yang dimaksudkan ialah bekas pemain tengah Kedah, Liridon Krasniqi dan penyerang pasukan Kuala Lumpur, Guilherme De Paula.

    Jika benar Tuck didaftarkan sebagai pemain tempatan, maka beliau berkemungkinan besar akan beraksi bersama pasukan kebangsaan sebagaimana pemain Pahang, Mohamadou Sumareh.

    Lee Tuck juga memberitahu sebab utama mengapa beliau teruja untuk menyarung jersi pasukan negara. Menurut pemain tengah ini, sokongan padu yang diberikan oleh penyokong setia Harimau Malaya dan juga prestasi yang ditampilkan oleh pemain naturalisasi sebelumnya, Mohamadou Sumareh.

    “Para penyokong sering tanya adakah saya berminat menyertai skuad kebangsaan dan bila saya akan berbuat demikian. Saya dah katakan yang saya sangat berminat untuk menyertainya selain melihat kelibat Sumareh dalam skuad Piala AFF baru-baru ini,” tambah Tuck.

    Baca Juga: Lee Tuck Mahu Sarung Jersi Harimau Malaya

    Leave a comment

    Your email address will not be published.