• Pemain tengah Terengganu FC, Lee Andrew Tuck kini sedang menunggu kebenaran daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk didaftarkan sebagai pemain tempatan dalam saingan Liga Malaysia musim hadapan.

    Menurut Tuck, beliau masih belum mengadakan sebarang perbincangan dengan badan induk bola sepak negara itu bagi memutuskan sama ada beliau akan didaftarkan sebagai pemain tempatan atau masih terus mengisi kuota pemain import.

    “Saya rasa mereka (FAM) faham dengan keinginan saya untuk menjadi warganegara Malaysia. Walaupun terlalu awal untuk bercakap perkara itu, tapi terpulang kepada mereka (FAM), saya kini hanya tunggu dan lihat perkembangan apa yang akan berlaku,” katanya kepada Berita Harian.

    Sebelum ini, FAM dikhabarkan telah mempunyai senarai pendek beberapa pemain yang akan diaftarkan sebagai pemain tempatan sekaligus menjadi pemain naturalisasi bagi mewakili pasukan kebangsaan sebagaimana yang dilakukan ke atas Mohamadou Sumareh.

    Lee Tuck dikatakan berada dalam senarai itu bersama dua lagi pemain import iaitu penyerang pasukan Kuala Lumpur, Guilherme De Paula dan bekas pemain tengah Kedah, Liridon Krasniqi. Ketiga-tiga pemain ini sudah mempunyai pengalaman luas beraksi dalam saingan Liga Malaysia.

    Tambah Tuck, beliau berharap ada perubahan dalam karier bola sepak beliau dan meletakkan harapan FAM akan memberikan kebenaran untuk beliau didaftarkan sebagai pemain tempatan.

    “Sudah tentu saya mengharapkan sinar baharu dalam karier bola sepak saya dan dalam masa sama harap keputusan sama daripada FAM seperti saya idamkan,” tambah pemain yang pernah menyarung jersi Negeri Sembilan ini.

    Peminat bola sepak tanah air menyambut baik sekiranya Lee Tuck mewakili pasukan kebangsaan pada masa akan datang. Kualiti serta kebolehan yang dimiliki oleh pemain berusia 30 tahun ini dilihat mampu untuk meningkatkan lagi kualiti serta tahap permainan pasukan negara.

    Pasukan kebangsaan ketika ini sedang berada dalam prestasi terbaik dan banyak perkara perlu dilakukan bagi memastikan Malaysia mengekalkan momentum sekaligus menjadi pasukan yang disegani di pentas Asia Tenggara sekaligus rantau Asia pada masa akan datang.

    Baca Juga: Pemain Naturalisasi Harus Berkualiti

    Leave a comment

    Your email address will not be published.