• Malaysia berjaya bangkit daripada ketinggalan dua gol untuk mengikat pasukan Vietnam pada perlawanan akhir pertama saingan Piala AFF Suzuki 2018 di Stadium Nasional Bukit Jalil sebentar tadi.

    Kedua-dua pasukan bermula dengan berhati-hati dimana para pemain masih cuba untuk menyesuaikan diri. Memasuki minit ke-5, Vietnam memperoleh peluang untuk menjaringkan gol namun sepakan penjuru yang diambil tidak disempurnakan dengan baik.

    Tidak lama selepas itu, Malaysia melancarkan satu geraka serangan balas namun hantaran daripada Safawi Rasid berjaya ditampan oleh penjaga gol Vietnam. Zaquan juga mempunyai peluang namun tandukan beliau tersasar.

    Memasuki minit ke-22, pasukan lawan membuka tirai jaringan menerusi Nguyen Vuy Hung menerusi satu rembatan deras yang pada mulanya ditepis oleh Farizal namun bola masih menerjah gawang pasukan negara.

    Selang 3 minit kemudian, pasukan pelawat menggandakan jaringan menerusi rembatan dari luar kotak penalti yang dilakukan oleh Pham Duc Huy. Kegagalan barisan pertahanan Malaysia untuk mengeluarkan bola nyata membawa padah.

    Malaysia kemudiannya berjaya merapatkan kedudukan menerusi tandukan pemain pertahanan, Shahrul Saad. Shahrul bijak menanduk masuk bola hasil daripada hantaran Syamer Kutty Abba. Separuh masa pertama tamat dengan Vietnam berada di hadapan.

    Memasuki separuh masa kedua, Malaysia tampil dengan lebih garang apabila terus mengasak kubu pertahanan Vietnam. Usaha berterusan pemain negara akhirnya membuahkan hasil apabila berjaya menyamakan kedudukan menerusi sepakan percuma menarik yang diambil oleh Safawi Rasid.

    Ketua jurulatih pasukan, Tan Cheng Hoe kemudiannya memasukkan Akhyar Rashid bagi menambah sengat di bahagian serangan. The Golden Dragon hanya memanfaatkan gerakan serangan balas pada separuh masa kedua dan perkara itu nyata tidak membuahkan hasil bagi mereka.

    Pemain gantian, Syafiq Ahmad mempunyai peluang untuk menjaringkan gol ketiga Malaysia akan tetapi sepakan percuma beliau ditampan oleh penjaga gol Vietnam. Wisel penamat dibunyikan dan kedudukan kekal 2-2.

    Malaysia harus bangkit pada perlawanan akhir kedua dimana pasukan lawan sudah pun mempunyai jaringan gol di tempat lawan. Banyak yang perlu diperbaiki oleh Tan Cheng Hoe.

    Baca Juga: Tan Cheng Hoe Mahu Julang Piala AFF Suzuki

    Leave a comment

    Your email address will not be published.