• Ketua jurulatih pasukan kebangsaan, Tan Cheng Hoe menganggap Malaysia masih lagi mempunyai kelebihan untuk mara ke perlawanan akhir saingan Piala AFF Suzuki 2018.

    Meskipun gagal untuk memperoleh kelebihan awal pada perlawanan separuh akhir pertama semalam, namun bekas penolong kepada Nelo Vingada ini tetap berpuas hati dengan persembahan yang ditunjukkan oleh anak-anak buah beliau.

    “Saya berasa gembira kerana kami tidak dibolosi. Keputusan seri 0-0 saya menjangkakan Thailand akan bermain lebih kurang sama di Bangkok nanti. Kami kena fokus bertahan dan pada masa menyerang untuk mendapatkan keputusan positif.

    “Pemain beraksi mengikut perancangan cuma mereka perlu yakin apabila berdepan situasi menjaringkan gol dan perlu tenang dan bijak mengambil peluang. Secara keseluruhannya, Malaysia bermain dengan baik,” katanya menurut laporan Utusan.

    Pada perlawanan di Stadium Nasional Bukit Jalil semalam, Malaysia tampil dengan begitu bertenaga apabila mengasak benteng pertahanan pasukan Thailand dengan bertubi-tubi sejak minit-minit awal permainan.

    Asakan yang diberikan oleh pemain negara menyebabkan Thailand banyak bermain bertahan sepanjang perlawanan dan perkara ini diakui oleh ketua jurulatih mereka, Milovan Rajevac.

    “Malaysia beraksi dengan baik. Mereka banyak melakukan larian berbahaya dan memberikan 120% komitmen di atas padang,” kata Rajevac kepada Goal.com.

    “Kami tidak pernah merancang untuk bermain secara bertahan. Pemain Malaysia mempunyai motivasi tinggi, agresif, dan kerap kali melakukan gerakan serangan kerana mereka mahu mencari gol.

    “Selain daripada itu, suasana dan juga sokongan padu daripada penyokong tuan rumah membuatkan kami beraksi di bawah kemampuan sebenar. Kami mahu menyerang namun kekurangan fokus di bahagian serangan telah membantutkan usaha kami. Namun saya yakin pasukan dapat bangkit pada perlawanan kedua nanti,” tambah Rajevac.

    Apa yang pasti, para pemain perlu mengekalkan momentum cemerlang serta lebih klinikal ketika mempunyai peluang keemasan untuk menjaringkan gol.

    Pasukan Thailand sudah pasti bakal turun sehabis baik pada perlawanan kedua di Bangkok nanti dan pasukan negara juga perlu memberikan ancaman kepada juara bertahan ini.

    Baca Juga: Kita Mampu Ke Final – Mohamadou Sumareh

    Leave a comment

    Your email address will not be published.