• Pemain pertahanan pasukan negara, Shahrul Saad menggesa rakan sepasukan untuk memanfaatkan setiap situasi bola mati yang diperoleh bagi mencari jaringan pada perlawanan akhir kedua Piala AFF Suzuki 2018 menentang Vietnam pada esok.

    Pada perlawanan akhir pertama Selasa lalu, Malaysia berjaya menjaringkan dua gol menerusi situasi bola mati apabila Shahrul Saad menanduk masuk bola hasil daripada sepakan percuma yang diambil oleh Syamer Kutty Abba. Satu lagi gol dijaringkan oleh Safawi Rasid menerusi satu sepakan percuma menarik.

    Shahrul mahukan rakan sepasukan untuk menyempurnakan segala peluang yang ada bagi memastikan impian menjulang trofi di Hanoi dapat direalisasikan.

    “Vietnam berjaya mengawal ketat pergerakan penyerang negara dan mereka tahu bagaimana taktikal kita ketika menyerang. Mereka meletakkan dua atau tiga pemain untuk mengawai jentera serangan kita.

    “Namun kita dapat menghasilkan dua gol menerusi sepakan percuma jadi saya mengharapkan kejayaan sama dapat diulangi pada aksi kedua di Hanoi nanti.

    “Selain itu, kita tahu betapa Vietnam memiliki pemain yang pantas, jadi barisan pertahanan juga perlu lebih kemas dan menunjukkan kesungguhan yang tinggi pada aksi kedua ini,” katanya menurut laporan Berita Harian.

    Keputusan 2-2 pada perlawanan pertama nyata tidak memberi banyak pilihan untuk pasukan bimbingan Tan Cheng Hoe selain meraih kemenangan ataupun mencatat keputusan seri 3-3 di Stadium Nasiona My Dinh pada esok.

    Pasukan tuan rumah turut mempunyai kerisauan mereka tersendiri di mana ketua jurulatih, Park Hang Seo mengingatkan kepada pemain beliau untuk tidak memberikan sepakan percuma atau sepakan penjuru kepada Malaysia.

    Vietnam sangat berbahaya ketika melakukan serangan balas namun mereka sedikit bergelut ketika mempertahankan pintu gol daripada situasi bola mati.

    Apa yang pasti, kedua-dua pasukan bakal mengeluarkan segala yang mereka ada bagi memenangi Piala AFF Suzuki edisi kali ini. Kali terakhir Vietnam muncul juara adalah pada edisi 2008 manakala pasukan Malaysia pula pada edisi 2010 dimana pasukan bimbingan Datuk K.Rajagopal menewaskan pasukan Indonesia di perlawanan akhir.

    Baca Juga: Aspek Keselamatan Penyokong Diutamakan – PSM

    Leave a comment

    Your email address will not be published.