• Penyerang skuad kebangsaan, Norshahrul Idlan Talaha atau Matyo mahu melunaskan dendam kekalahan pada perlawanan peringkat kumpulan apabila turun berdepan pasukan Vietnam di pentas perlawanan akhir.

    Norshahrul optimis ini adalah peluang terbaik buat pasukan negara membalas dendam sekali gus menjulang trofi kejuaraan selepas kali terakhir Malaysia memenanginya pada 2010.

    Matyo turut menggesa rakan sepasukan untuk menampilkan aksi terbaik untuk memastikan Vietnam tidak pulanh dengan keputusan positif sekaligus memperoleh kelebihan awal buat pasukan negara.

    “Banyak yang kami pelajari daripada kekalahan di Hanoi tempoh hari dan kami tahu kami perlu terutamanya memperkemas dari segi permainan kerana ini adalah perlawanan final.

    “Sudah tentu kita perlu mendapatkan gol pada aksi pertama di laman sendiri supaya dapat membawa bekalan selesa di tempat lawan,” katanya seperti laporan Astro Awani.

    Norshahrul setakat ini telah menjaringkan 5 gol dan beliau mengakui berdepan Vietnam bukan satu perkara yang mudah. Beliau juga gagal untuk menjaringkan gol ketika Malaysia tewas pada perlawanan peringkat kumpulan.

    “Saya ada mengkaji perlawanan menentang mereka (Vietnam) sebelum ini dan saya akui saya ada melakukan beberapa kesilapan juga pada aksi terbabit.

    “Namun selepas melihat analisa permainan, sedikit sebanyak saya mendapat input untuk mengatasi kawalan pertahanan Vietnam dan saya mengharapkan sentuhan saya menjadi di aksi final nanti,” tambahnya.

    Apa yang pasti, beraksi di hadapan puluhan ribu penyokong setia Harimau Malaya harus digunakan dengan sebaik mungkin oleh para pemain untuk mendapatkan bekalan selesa menjelang perlawanan akhir kedua di Hanoi pada 15 Disember ini.

    Vietnam mara ke perlawanan akhir setelah membenam pasukan bimbingan Sven-Goran Eriksson, Filipina.

    Baca Juga: Kualiti Liga Malaysia Bantu Harimau Malaya.

    Leave a comment

    Your email address will not be published.