• Pasukan yang menghuni tangga ketiga dalam saingan Liga Perdana musim ini, MISC-Mifa dinaikkan pangkat apabila mereka diberi slot untuk beraksi dalam saingan Liga Super musim hadapan.

    MIFA dinaikkan pangkat bagi menggantikan naib juara Liga Perdana, Felcra FC yang terpaksa menarik diri dari saingan Liga Malaysia musim hadapan kerana kekangan kewangan yang serius.

    Meskipun cuba untuk mencari jalan penyelesaian, namun Felcra terpaksa akur dengan keadaan kantung kewangan pasukan yang tidak membenarkan mereka untuk beraksi dalam Liga Super musim 2019 nanti. Akan tetapi, meskipun menarik diri, namun Felcra tidak melupakan tanggungjawab mereka kepada bekas pemain dan pegawai apabila mereka melunaskan tunggakan gaji yang dianggarkan bernilai RM2 juta.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh pengelola Liga Malaysia, Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), MIFA harus memenuhi beberapa kriteria dan beberapa dokumen telah diserahkan kepada pengurusan pasukan MIFA oleh MFL.

    “Mengikut carta kedudukan 100PLUS Liga Premier 2018, pasukan MIFA telah menyandang tempat ketiga dan telah diberi keutamaan untuk mengambil tempat di unifi Liga Super 2019. Walau bagaimanapun, pasukan MIFA harus memenuhi lapan (8) kriteria bagi membolehkan pasukan tersebut beraksi ke kancah unifi Liga Super Malaysia 2019. Dokumen-dokumen berkaitan telah diserahkan oleh MIFA kepada MFL dalam jangka masa yang efisien.

    “Pasukan MIFA telah membuat usaha yang baik untuk mematuhi keperluan MFL dan telah menunjukkan rancangan masa depan yang jelas seperti menetapkan mereka dalam komuniti dan pelan untuk meningkatkan hubungan bersama penyokong. MIFA juga telah memperoleh pelaburan baharu dan kami berharap bahawa pelaburan ini bakal membantu pasukan MIFA menjadi lebih stabil pada masa yang akan datang.

    “Selepas pertimbangan, Lembaga Pengarah MFL telah mengambil keputusan untuk mempromosikan pasukan MIFA ke unifi Liga Super Malaysia 2019,” kata MFL.

    MISC-Mifa dikhabarkan mahu menjenamakan semula pasukan mereka dan dikenali dengan nama Petaling Jaya City dan mereka akan menggunakan Stadium Petaling Jaya sebagai home mereka.

    Pasukan lain yang akan beraksi dalam saingan Liga Super 2019 ialah juara lima kali, Johor Darul Ta’zim, FELDA United, Kedah, Kuala Lumpur, Melaka United, Pahang, Perak, PKNP FC, PKNS FC, Selangor dan Terengganu FC.

    Baca Juga: Contohi Langkah Yang Diambil Felcra FC

    Leave a comment

    Your email address will not be published.