• Ketua jurulatih pasukan Vietnam, Park Hang Seo mengakui beliau kecewa pasukan bimbingannya melepaskan dua gol pada perlawanan akhir pertama Piala AFF Suzuki 2018 menentang Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil semalam.

    Vietnam berjaya meledak dua gol awal pada separuh masa pertama menerusi jaringan Nguyen Huy Hung pada minit ke-22 dan rembatan padu dari luar kotak penalti Pham Duc Huy pada minit ke-25. Namun, pemain pertahanan negara, Shahrul Saad dan pemain sayap, Safawi Rasid berjaya menyamakan kedudukan sekaligus memberikan sedikit kelegaan buat pasukan.

    “Pemain beraksi dengan baik dan menunjukkan semangat juang tinggi apabila dapat menjaringkan dua gol pada aksi malam ini.

    “Memang saya kecewa dengan dua gol yang dibolosi namun secara keseluruhannya, kami tidak tewas pada perlawanan di tempat lawan.

    “Kini saya perlu mempersiapkan pasukan bagi aksi kedua di tempat sendiri,” kata Park Hang Seo menurut laporan Berita Harian.

    Sama seperti perlawanan di peringkat kumpulan, pasukan Vietnam nyata lebih berbahaya ketika melakukan serangan balas. Gol pertama yang dijaringkan oleh mereka berpunca daripada kealpaan benteng pertahanan Malaysia yang memberikan ruang terlalu luas buat barisan serangan pasukan lawan.

    Namun, Vietnam memperlahankan sedikit rentak permainan pada separuh masa kedua dan ini memberikan peluang untuk Malaysia membuat asakan sekaligus menjaringkan gol penyamaan menerusi sepakan percuma menarik Safawi Rasid.

    Meskipun ada gerakan serangan yang dilancarkan oleh skuad The Golden Dragon terutamanya setelah Nguyễn Công Phượng dimasukkan, namun benteng pertahanan pasukan negara berjaya memperbaiki kesilapan dan mengekang segala asakan yang diberikan.

    Pada perlawanan akhir kedua di laman sendiri pada 15 Disember nanti, pasukan Vietnam sudah pasti akan berjuang bermati-matian bagi memastikan mereka muncul sebagai juara dalam edisi kali ini. Meskipun mereka hanya memerlukan keputusan seri untuk muncul sebagai juara, namun kami berpendapat mereka tidak akan tampil bertahan.

    Bagi pasukan negara pula, banyak aspek yang perlu diperbaiki khususnya barisan pertahanan yang tampil sedikit goyah pada separuh masa pertama. Tempoh empat hari yang dimiliki harus digunakan dengan sebaik mungkin.

    Baca Juga: Barisan Pertahanan Perlu Diperbaiki

    Leave a comment

    Your email address will not be published.