• Ketua jurulatih pasukan kebangsaan, Tan Cheng Hoe menggesa anak-anak buah beliau untuk lebih waspada dengan ancaman yang bakal diberikan oleh pasukan Thailand pada perlawanan separuh akhir pertama Piala AFF Suzuki 2018 malam ini.

    Cheng Hoe berkata demikian berdasarkan rekod baik Thailand dalam perlawanan peringkat kumpulan sebelum ini dimana mereka telah menjaringkan 15 gol.

    “Kita perlu lebih waspada dari segi serangan Thailand kerana kita tahu mereka sudah menjaringkan 15 gol sepanjang kejohanan.

    “Apa yang penting, pemain saya jangan terlalu ghairah atau terlalu ingin mendapatkan gol hingga (gawang) kita dibolosi.

    “Ia kerana dalam setiap perlawanan di peringkat kalah mati ini jaringan tempat lawan sangat penting buat mana-mana pasukan.

    “Saya akan gembira jika kami tidak bolos. Tapi dalam tempoh 90 minit itu kita tidak boleh hanya bertahan, kita perlu juga menyerang dan pada masa sama kena waspada dengan serangan lawan,” katanya menurut laporan Berita Harian.

    Bekas pengendali Kedah ini seolah-olah tidak mahu kesilapan pada perlawanan akhir edisi 2014 lalu berulang dimana Malaysia mendahului 3 gol sebelum skuad Gajah Perang menjaringkan dua gol pada 10 minit terakhir permainan bagi menafikan kejuaraan kedua Harimau Malaya.

    Tambah Cheng Hoe, selain waspada dengan ancaman pihak lawan, para pemain juga tidak boleh memandang Thailand terlalu tinggi dan harus memberikan tumpuan penuh kepada corak permainan sendiri.

    “Ramai orang kata perlawanan dengan Myanmar kita main begitu baik tapi saya rasa episod itu sudah berlalu dan ketika ini kita perlu berdepan pasukan yang lebih kuat dan berpengalaman.

    “Paling penting pemain saya perlu bermain mengikut kekuatan kami bukan menumpukan kepada pasukan Thailand. Kita kena percaya kepada falsafah corak permainan kita,” tambah Cheng Hoe.

    Baca Juga: Shahrul Saad Sedia Kawal Adisak Kraisorn

    Leave a comment

    Your email address will not be published.