• Bekas pemain skuad kebangsaan, Khalid Ali menggesa ketua jurulatih, Tan Cheng Hoe untuk memperbaiki kelemahan di jentera serangan menjelang perlawanan separuh akhir kedua Piala AFF Suzuki 2018 menentang Thailand di Stadium Rajamangala pada Rabu ini.

    Khalid berpendapat pasukan negara mampu untuk meraih kemenangan pada perlawanan pertama di Bukit Jalil sekiranya jentera serangan berjaya memanfaatkan peluang yang terhidang. Khalid juga melihat permainan yang ditampilkan oleh para pemain negara merupakan permainan terbaik dalam lima tahun terakhir.

    “Terus terang, bagi saya perlawanan malam tadi adalah yang terbaik dan cantik daripada pasukan bola sepak kita kalau dibandingkan dengan empat atau lima tahun lalu.

    “Tetapi kelemahan kita adalah penyudah yang tidak tepat walaupun mempunyai terlalu banyak peluang untuk menjaringkan gol.

    “Saya harap Cheng Hoe selaku jurulatih berpengalaman akan perbaiki segera kelemahan itu kerana kita sedar apabila bermain di Bangkok bukan mudah dan apabila dapat peluang pemain kena gunakan dengan sebaiknya,” katanya menurut laporan Berita Harian.

    Keputusan seri pada Sabtu lalu dilihat menjadi kelebihan buat pasukan Thailand dimana mereka sudah pasti akan tampil dengan lebih baik pada perlawanan kedua berbanding ketika mencatat keputusan seri minggu lalu. Thailand banyak bertahan dan hanya beberapa kali mereka cuba untuk menguji benteng pertahanan negara.

    Untuk perlawanan separuh akhir kedua nanti, Khalid menasihati para pemain agar memanfaatkan peluang dengan baik dan memberi perhatian yang lebih kerana Thailand sangat berbahaya apabila beraksi di laman sendiri apatah lagi di gelanggang keramat mereka.

    “Lawan Thailand di tempat mereka bukan senang, apatah lagi Indonesia dan Singapura (dalam Kumpulan B) turut menjadi mangsa apabila bermain di sana.

    “Begitupun, saya optimis kita tetap ada kualiti untuk menang dengan syarat bermain secara serangan balas dan penyerang kena guna betul-betul peluang yang datang dan jangan bazirkan lagi,” tambah Khalid.

    Jika para pemain menampilkan persembahan sepertimana ketika Harimau Malaya mengikat juara bertahan pada perlawanan pertama, tidak mustahil Malaysia mampu untuk menewaskan skuad Gajah Perang dan melangkah ke perlawanan akhir saingan edisi kali ini.

    Baca Juga: Kita Mampu Ke Final – Mohamadou Sumareh

    Leave a comment

    Your email address will not be published.