• Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) bersetuju dengan aturan kewangan yang telah ditetapkan oleh pengelola Liga Malaysia, Liga Bolasepak Malaysia (MFL).

    Jelas Presiden Persatuan Bolasepak Perlis (PFA), Datuk Ahmad Amizal Shaifit Ahmad Rafie, beliau bersetuju walaupun pihak MFL akan menahan agihan kewangan yang sepatutnya diterima pasukan itu bagi musim baharu nanti.

    “Persetujuan antara PFA dan MFL mengenai aturan kewangan itu sebagai langkah bijak demi kelangsungan pasukan dan sukan.

    “Kami juga amat bersyukur atas keputusan MFL yang membenarkan Perlis beraksi dalam Liga Perdana dan ingin mengucapkan terima kasih kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang memberi kepercayaan kepada kepemimpinan baharu PFA,” katanya menurut laporan Berita Harian.

    Sebelum ini, Perlis layak beraksi dalam saingan Liga Perdana musim hadapan setelah mereka memenuhi kriteria ditetapkan terutama membabitkan aspek kewangan pasukan yang dilihat kukuh untuk menghadapi saingan Liga Malaysia musim depan.

    Akan tetapi, pengurusan pasukan Perlis perlu menjelaskan tunggakan gaji dalam tempoh 60 hari dengan agihan kewangan untuk pasukan itu akan dijadikan cagaran jika mereka gagal berbuat demikian dalam tempoh ditetapkan.

    Pada masa yang sama, Datuk Amizal menegaskan pihaknya komited dalam menyelesaikan tunggakan gaji pemain meskipun isu tersebut ditimbulkan oleh pengurusan lama.

    “Kami akan berbincang dengan Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) bagi menyelesaikan isu tunggakan gaji di bawah kepemimpinan lama PFA.

    “Walaupun ini bukan masalah kepemimpinan baharu tetapi atas dasar tangggungjawab, kami sedia untuk selesaikan masalah ini dan mengharapkan ia dapat diselesaikan secara harmoni,” tambahnya.

    Selain Perlis, dua lagi pasukan iaitu UKM FC dan Terengganu FC II turut diberi kebenaran untuk beraksi dalam saingan Liga Perdana musim hadapan.

    Baca Juga: Perlis Tidak Boleh Ulangi Kesilapan

    Leave a comment

    Your email address will not be published.