• Hajat pasukan Perlis untuk beraksi dalam saingan Liga Perdana musim hadapan akhirnya tercapai apabila rayuan mereka diterima oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM). Di sini, pengurusan pasukan Singa Utara ini tidak boleh mengulangi kesilapan yang dilakukan pengurusan lampau.

    Kesilapan yang kami maksudkan di sini ialah pembayaran gaji pemain. Kita sedia maklum Perlis berdepan dengan isu tunggakan gaji sejak tiga tahun kebelakangan ini dan isu tersebut hampir membuatkan mereka terkubur sekaligus lenyap dalam saingan Liga Malaysia.

    Di bawah pimpinan presiden baru iaitu Datuk Amizal Shaifit Ahmad Rafie, kita boleh lihat bekas juara Piala Malaysia edisi 2006 ini mengalami perubahan drastis dimana beberapa nama besar dibawa masuk dan tunggakan gaji pemain yang beraksi bersama pasukan pada tahun lalu berjaya diselesaikan.

    Namun, menyelesaikan tunggakan gaji pemain dan memberi nafas baru kepada pasukan hanyalah satu langkah awal bagi pengurusan baru pasukan Perlis. Perkara paling mustahak yang mereka perlu lakukan ialah mereka harus konsisten dalam meastikan pemain mendapat gaji mereka setiap bulan dan tidak boleh ada tunggakan seperti yang terjadi sebelum ini.

    Ini bagi memastikan pemain menampilkan aksi terbaik mereka dan skuad Singa Utara menjadi pasukan yang digeruni dalam saingan Liga Perdana. Selain itu, pembayaran gaji dengan tepat waktu juga boleh mengelakkan mereka daripada dikenakan hukuman daripada FAM dan juga pengelola Liga Malaysia, Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).

    Selain Perlis, dua lagi pasukan iaitu UKM FC atau yang lebih sinonim dengan gelaran The Varsity Boys dan Terengganu FC II melengkapkan slot 12 pasukan yang akan bertanding dalam saingan Liga Perdana musim hadapan.

    UKM FC sebelum ini menghantar surat rasmi kepada MFL pada awal November lalu bagi memohon untuk menangguhkan pengesahan penyertaan tetapi mereka kini telah disahkan sebagai salah satu pasukan yang beraksi dalam kancah Liga Perdana.

    Manakala TFC II pula menggantikan tempat juara Liga FAM musim ini, Terengganu City FC kerana mereka gagal untuk melunaskan tunggakan gaji bekas jurulatih mereka, Roshadi Wahab.

    Baca Juga: Perlis Sah Tandatangani Kirati Keawsombat

    Leave a comment

    Your email address will not be published.