• Semalam Inikan Bola berkesempatan untuk menemubual bekas ketua jurulatih pasukan kebangsaan Thailand, Peter Reid atas jemputan dari pihak Stadium Astro.

    Wakil kami mengajukan beberapa soalan berkenaan perkembangan bola sepak Malaysia dan juga Asia Tenggara. Berikut adalah hasil daripada temubual kami bersama Peter.

    Inikan Bola: Apa nasihat dan juga tips yang anda boleh berikan kepada pemain muda khususnya pemain Malaysia memandangkan pasukan Malaysia ketika ini diwakili oleh beberapa pemain muda ?

    Peter Reid: Saya percaya para pemain muda perlu menikmati sukan bola sepak itu sendiri. Jika anda tidak menikmati pekerjaan anda, saya rasa anda tidak mampu untuk meningkatkan kualiti serta mutu permainan anda.

    Persekitaran juga memainkan peranan besar dalam pembangunan pemain muda. Jika persekitaran berada dalam keadaan yang baik dan juga positif, maka pemain tersebut mampu untuk meningkatkan kualiti. Selain itu, kerja keras, profesionalisma, keazaman dan dedikasi yang tinggi.

    Jika anda mempunyai elemen yang saya sebutkan, tidak mustahil anda mampu untuk menjadi pemain terbaik pada masa akan datang. Selain pemain muda itu sendiri yang perlu berusaha keras, kelab/pasukan bola sepak sendiri perlu memainkan peranan mereka.

    Sebagai jurulatih, masa depan kami tidak menentu. Hari ini anda sedang menguruskan pasukan dan tidak mustahil pada keesokan harinya anda dipecat. Jurulatih mungkin tidak mempunyai masa yang cukup untuk membentuk pemain dan juga pasukan.

    Sebab itulah kelab/pasukan perlu mempunyai struktur yang teratur dan juga jelas bagi pemain muda ini meningkatkan tahap permainan mereka.

    Inikan Bola: Bagaimana pula dengan tips dan nasihat untuk jurulatih muda ?

    Peter Reid: Saya rasa tak salah untuk jurulatih muda ini mencuba idea baru dalam corak permainan yang diterapkan. Sukan bola sepak itu sendiri tidak pernah berubang. Ada dua pintu gol dan 22 pemain di atas padang akan berentap.

    Apa yang membezakan ialah bagaimana corak permainan yang anda gunakan. Saya beritahu anda satu perkara. Ketika saya di Thailand, saya mempunyai sistem dan cuba untuk menurunkan pemain terbaik dalam kesebelasan utama menggunakan pemain sedia ada.

    Jadi saya menggunakan formai 4-3-2-1. Kita ada dua pemain yang sangat kreatif dan tiga pemain yang akan bekerja keras untuk melindungi pertahanan dan juga bahagian tengah. Itu adalah sistem yang saya gemari.

    Sebagai jurulatih, kadang-kala jika anda menerima satu tugasan, anda perlu lihat kepada barisan pemain sedia ada. Jika anda boleh membuatkan pemain serasi dengan corak permainan anda, maka ianya adalah satu perkara yang bagus.

    Namun, jika sebaliknya berlaku, anda perlu mencuba untuk mencari satu sistem yang sesuai dengan pemain sedia ada. Selain itu, anda juga perlu mencipta satu persekitaran yang baik untuk pemain anda bekerja di bawah anda terutamanya ketika sesi latihan.

    Inikan Bola: Thailand, Vietnam dan Filipina akan beraksi di Piala Asia 2019. Jadi apa nasihat anda kepada pasukan dari Asia Tenggara lain yang tidak berjaya layak ?

    Peter Reid: Layak ke temasya besar adalah satu perkara biasa. Bagi pasukan yang tidak berjaya layak pula, jadikan kegagalan sebagai pembakar semangat untuk anda bekerja lebih keras.

    Seperti contoh, baru-baru ini Malaysia berjaya menundukkan pasukan Thailand. Perlawanan tersebut sememangnya satu perlawanan terbaik yang saya saksikan. Seterusnya apa yang perlu dilakukan ialah mengekalkan momentum dan bekerja lebih keras agar pasukan anda tampil lebih baik pada perlawanan akan datang. Itu sahaja.

    Inikan Bola: Apa yang perlu dilakukan oleh pemain dari Asia Tenggara khususnya Malaysia untuk beraksi di saingan Liga Perdana Inggeris dan berapa lama masa yang diperlukan ?

    Peter Reid: Apa yang penting ialah kerja keras dan disiplin. Saya selalu memberikan cabaran kepada pemain untuk memberikan persembahan terbaik. Dan saya rasa pasukan-pasukan di England juga harus mula memberi perhatian kepada pemain dari rantau ini (Asean) kerana banyak perkara yang mereka boleh peroleh terutamanya dari segi pemasaran dan juga populariti pasukan.

    Itulah dia hasil daripada wawancara pihak kami bersama Peter Reid. Anda juga boleh mendengar hasil wawancara kami di sini:

    http://inikanbola.my/wp-content/uploads/2018/12/Peter-Reid.m4a

    Baca Juga: Ada Benarnya Kata-Kata Roberto Carlos

    Leave a comment

    Your email address will not be published.