• Bekas ketua pasukan Kelantan,Mohd Badhri Radzi atau Piya mendakwa Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) masih lagi belum melunaskan tunggakan gaji beliau ketika beraksi bersama Kelantan musim ini.

    Tambah Piya, beliau kecewa dengan sikap berdiam diri persatuan itu berhubung tunggakan gaji yang belum diterima meskipun beliau beraksi pada awal musim sahaja.

    Pemain berusia 35 tahun ini membuat tuntutan tersebut memandangkan kontrak yang ditandatangani bersama pasukan tamat pada 30 November lalu.

    “Kali terakhir saya menerima bayaran pada April lalu selepas dipinggirkan daripada TRW,” katanya ketika dihubungi Bernama.

    Pemain yang akan beraksi bersama Perlis pada saingan musim 2019 ini turut mengatakan beliau terpaksa ‘mengikat perut’ selama tujuh bulan akibat daripada kelewatan pembayaran tunggakan gaji oleh KAFA.

    “Sebagai pemain saya ingin menuntut hak itu kerana saya mempunyai komitmen kewangan yang tinggi yang perlu dibayar.

    “Apa yang membuat saya kecewa, KAFA hanya sekali memanggil untuk berbincang mengenai perkara itu, namun selepas itu tiada lagi usaha yang dilakukan untuk mencari jalan penyelesaian terbaik sehingga ke hari ini,” tambahnya.

    Pasukan Kelantan sememangnya terpalit dengan isu tunggakan gaji pemain sejak saingan Liga Malaysia berada di peringkat awal. Masalah tunggakan gaji ini sedikit-sebanyak memberikan kesan kepada persembahan pasukan dan Kelantan terpaksa beraksi dalam saingan Liga Perdana musim hadapa apabila mereka menduduki zon penyingkiran dalam saingan Liga Super musim ini.

    Apa yang pasti, KAFA perlu segera melunaskan tunggakan gaji bukan sahaja gaji piya tetapi pemain lain yang turut menghadapi masalah sama. Jika KAFA masih lagi berdiam diri, maka MFL dan FAM wajar mengambil tindakan ke atas persatuan ini.

    Baca Juga: Yusri Che Lah Ketua Jurulatih Kuala Lumpur Yang Baru

    Leave a comment

    Your email address will not be published.