• Penyerang import pasukan Selangor, Rufino Segovia Del Burgo mempunyai sasaran apabila beliau mahu memenangi sekurang-kurangnya satu piala bersama pasukannya dalam saingan Liga Malaysia musim hadapan.

    Pemenang Kasut Emas Liga Super musim 2018 dengan jumlah jaringan sebanyak 19 gol ini mahu mengubati duka dalam saingan musim 2018 dan beliau sudah tidak sabar untuk memulakan musim baharu.

    “Memenangi anugerah penjaring terbanyak Liga Super musim 2018 memang sesuatu yang terindah dalam hidup saya.

    “Untuk musim baharu, saya mahu memenangi kejuaraan bersama Selangor. Kita ada tiga kejohanan utama iaitu Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia.

    “Namun, saya tak kisah memenangi apa-apa kejuaraan pun asalkan Selangor berjaya meraih gelaran selepas kali terakhir menjulang trofi pada 2015 dengan meraih Piala Malaysia,” kata bekas penyerang Atletico Madrid ini ketika ditemui Berita Harian.

    Musim ini, Selangor berpeluang memenangi satu piala iaitu trofi Piala FA dimana mereka berjaya melangkah ke perlawannan akhir dengan menentang pasukan Pahang. Akan tetapi, nasib tidak menyebelahi juara 33 kali Piala Malaysia ini dimana mereka tewas dengan keputusan 2-0. Jaringan Nor Azam Azih dan Patrick Cruz meranapkan impian skuad Gergasi Merah.

    Tambah Rufino, beliau yakin dengan sentuhan jurulatih baru, B.Sathianathan dan senarai pemain baru yang dibawa masuk dapat merealisasikan impiannya untuk meraih kejuaraan musim hadapan.

    “Jurulatih seorang yang berpengalaman luas dan beliau sudah membuktikan sentuhannya dengan membawa beberapa pasukan memenangi kejuaraan sebelum ini.

    “Saya percaya dengan sentuhan beliau dan dibantu beberapa pemain ternama yang dibawa masuk, misi menjulang trofi bukan sesuatu yang mustahil untuk diraih,” tambahnya.

    Menjelang saingan musim 2019, selain mengekalkan khidmat Rufino, pengurusan pasukan Selangor telah membawa masuk beberapa muka baharu bagi memperkuatkan pasukan.

    Antara pemain baru yang dibawa masuk ialah Faiz Nasir, Wan Zack Haikal Wan Nor, Syazwan Zainon, Halim Saari, Norhakim Isa, Nurridzuan Abu Hassan dan bekas penjaga gol, Farizal Harun.

    Untuk slot pemain import yang lain, B.Sathianathan tidak mahu terburu-buru dan akan membuat penilaian terlebih dahulu mengenai pemain mana yang bakal diambil.

    Baca Juga: Pilih Selangor Sebab Faktor Keluarga – Faiz Nasir

    Leave a comment

    Your email address will not be published.