• Bekas ketua pasukan skuad kebangsaan, Safiq Rahim sah menyertai pasukan Melaka United bagi saingan Liga Malaysia musim hadapan.

    Perpindahan bekas pemain Johor Darul Ta’zim ini diumumkan menerusi laman media sosial rasmi pasukan sebentar tadi.

    Sebelumnya, khabar angin beredar di laman media sosial mengatakan Safiq mengutarakan minat untuk menyertai Melaka. Selain Safiq, seorang lagi bekas ketua pasukan skuad kebangsaan, Shukor Adan turut berminat menyertai juara Liga Perdana 2016 itu.

    Setelah enam musim beraksi bersama JDT dan memenangi pelbagai kejuaraan di dalam dan luar negara, Safiq mengambil keputusan untuk meninggalkan juara lima kali Liga Super itu dan mencari cabaran baru dalam saingan Liga Malaysia musim hadapan.

    Ketika beraksi bersama skuad Harimau Selatan, Safiq berjaya memenangi lima gelaran Liga Super, satu trofi Piala FA dan Piala Malaysia serta berjaya memenangi Piala AFC 2015 dimana Safiq juga menjadi pemain terbaik kejohanan ketika itu.

    Selain menandatangani Safiq Rahim, pengurusan pasukan Melaka United juga berjaya mendapatkan khidmat 7 lagi pemain iaitu Saiful Ridzuwan Selamat, Razman Roslan, Wan Amirul Afiq, Nazrin Nawi, Raimi Md Noor, Shukor Adan, Oscar Wong Tse Yang dan R.Gopinathan.

    Melihat kepada senarai pemain yang dibawa masuk, rata-rata pemain sudah mempunyai pengalaman yang luas dalam saingan Liga Malaysia. Pemain seperti Razman Roslan, Nazrin Nawi, Raimi Mohd Noor dan Gopi sudah pernah menjuarai kejuaraan utama yang ditawarkan dalam saingan Liga Malaysia.

    Selain itu, pasukan Melaka United nampaknya mahu menjadi pencabar kepada pasukan-pasukan besar seperti Johor Darul Ta’zim, Pahang dan Terengganu FC. Setelah dua musim menamatkan saingan Liga Super di kelompok enam pasukan terbawah, Melaka nampaknya mahu bangkit dan menjadi salah satu kuasa besar Liga Malaysia.

    Baca Juga: Safiq Dan Shukor Berminat Sertai MU

    Leave a comment

    Your email address will not be published.