• Pemain pertahanan skuad kebangsaan, Irfan Zakaria berikrar akan memberikan yang terbaik jika beliau diberikan peluang untuk tampil dalam kesebelasan utama pada perlawanan akhir pertama Piala AFF Suzuki 2018 Selasa ini.

    Irfan dikritik peminat selepas melakukan beberapa kesilapan dan menjaringkan gol sendiri pada perlawanan separuh akhir kedua Piala AFF di Bangkok Rabu lalu.

    Meskipun dikritik hebat, namun Irfan berazam untuk memberikan aksi terbaik beliau sekiranya diturunkan.

    “Saya sangat tidak berpuas hati dengan persembahan saya kerana ia aksi pertama saya. Kini (perlawanan akhir) ia menjadi perlawanan hidup mati pasukan, tetapi saya sedia meningkatkan prestasi.

    “Jika masih diberi peluang, saya akan cuba memberikan yang terbaik,” katanya menurut laporan Berita Harian.

    Irfan dimasukkan pada separuh masa pertama bagi menggantikan Aidil Zafuan yang mengalami kecederaan. Pemain Kuala Lumpur ini kemudiannya melakukan kesilapan apabila tertampan bola ke gawang sendiri pada minit ke-21, untuk membolehkan Thailand mendahului 1-0.

    “Setiap pemain pasti gementar dan memerlukan masa untuk bertenang, tetapi rakan sepasukan serta jurulatih memberi sokongan walaupun saya melakukan kesilapan dan mereka memberikan saya keyakinan semula.

    “Jurulatih tidak menyalahkan saya atas beberapa kesilapan, saya akan menerima apa saja keputusan dan jika diberikan peluang, saya akan buat yang terbaik,” tambahnya.

    Rakan sepasukan kemudiannya memberikan sokongan kepada Irfan dengan mengatakan beliau telah melakukan satu tugas yang baik di bahagian pertahanan.

    “Irfan masuk ke padang dan tidak mempunyai masa yang cukup untuk memanaskan badan. Bagi saya, dia melakukan tugas dengan baik dan kita tidak boleh menyalahkan dia sepenuhnya,” kata pemain naturalisasi negara, Mohamadou Sumareh.

    Baca Juga: FAM Sedia Calonkan Gol Syahmi Untuk Puskas

    Leave a comment

    Your email address will not be published.