• “Saya nak menang semua piala musim hadapan.”

    Itulah jawapan yang diberikan oleh ketua jurulatih pasukan Selangor, B.Sathianathan apabila ditanya mengenai sasaran pasukan dalam saingan Liga Malaysia musim hadapan.

    Sathia serta pemain Selangor, Swan Eugene Selvaraj dan Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Dr Johan Kamal Hamidon menghadiri majlis pelancaran jersi baharu dan juga pengenalan Hari Bola Sepak Selangor yang bakal menyaksikan perlawanan akhir saingan Selangor Champions League musim 2018 turut diadakan di Sunway Hotel and Resort semalam.

    Menurut jurulatih berusia 60 tahun ini, tidak mustahil untuk sesebuah pasukan memenangi kejuaraan Liga Super, Piala Malaysia dan Piala FA dalam satu musim sekiranya para pemain mempunyai semangat juang yang tinggi.

    “Kalau boleh saya mahu semua (kejuaraan). Saya ingatkan pemain dan selalu ingatkan diri saya bahawa saya mahu menang kesemuanya.

    “Ini semua adalah mentaliti kita. Kalau mentaliti kita cukup kuat dan yakin dengan kebolehan kita ditambah dengan motivasi dan gambaran jelas kepada pemain, tiada apa yang mustahil….kita boleh pergi jauh,” katanya.

    Bekas pengendali Felda United ini turut memuji usaha pengurusan pasukan yang menyediakan fasiliti latihan terbaik menjelang saingan musim 2019.

    “Untuk memajukan Selangor dan kembalikan aura Selangor kita kena betulkan dari segi kemudahan di mana saya amat gembira kerana pihak pengurusan telah melakukan satu perkara yang positif dari segi kemudahan.

    “Saya harap ini akan mengubah mentaliti pemain untuk berlatih bersungguh-sungguh dan dengan kemudahan yang telah disediakan, saya tidak lagi boleh berikan alasan dan kita kena capai matlamat diletakkan oleh pengurusan,” tambahnya.

    Setakat ini persediaan pasukan Selangor dilihat berjalan dengan lancar dimana mereka sudah memulakan sesi latihan serta membawa masuk beberapa muka baharu seperti Faiz Nasir, Latif Shuhaimi, Halim Shaari dan Farizal Harun.

    Selain membawa masuk muka baharu, pengurusan pasukan turut mengekalkan beberapa pemain senior antaranya Amri Yahyah yang berkemungkinan besar bakal diangkat sebagai ketua pasukan dan penjaga gol, Khairul Azhan Khalid.

    Baca Juga: Syed Saddiq Terbang Ke Hanoi

    Leave a comment

    Your email address will not be published.