• Persembahan mantap pemain pertahanan pasukan negara, Syazwan Andik Ishak dalam saingan Piala AFF Suzuki 2018 nampaknya menarik minat pasukan Liga Malaysia apabila beberapa pasukan dikhabarkan mahu membawa masuk khidmat beliau.

    Dua pasukan iaitu juara Liga Super musim ini, Johor Darul Ta’zim dan Selangor dikhabarkan berminat untuk mendapatkan khidmat pemain berusia 22 tahun ini bagi memantapkan jentera pertahanan menjelang saingan musim 2019.

    Ketua jurulatih Kuala Lumpur, Yusri Che Lah berkata beliau tidak akan menyekat sekiranya ada pasukan lain yang mahu menandatangani Syazwan menjelang saingan Liga Malaysia musim hadapan meskipun pemain itu masih mempunyai kontrak bersama Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA).

    “Sebagai seorang jurulatih, saya enggan menyekat hasrat pemain untuk berhijrah. Tetapi jika mahu terus kekal bersama pasukan, saya sedia menerima secara terbuka kerana kualiti yang dimiliki oleh Syazwan diperlukan pasukan Kuala Lumpur,” kata Yusri menurut laporan Stadium Astro.

    Mana-mana pasukan yang mahu membawa masuk Syazwan, maka mereka perlu membayar pampasan baki kontrak pemain itu kepada KLFA mengikut statut persatuan berkenaan. Ini bagi mengelakkan sebarang masalah timbul sepertimana yang dihadapi dalam isu Akhyar Rashid.

    Sebelum ini, Syazwan Andik mencipta nama bersama pasukan Johor Darul Ta’zim II dalam saingan Liga Perdana. Setelah mewakili JDT II selama dua musim, pada awal musim 2018 Syazwan mengambil keputusan untuk menyertai The City Boys bagi saingan Liga Super.

    Nama beliau mencanak naik secara mendadak setelah menampilkan aksi yang bertenaga ketika membantu skuad Harimau Malaya muncul naib juara dalam kejohanan Piala AFF Suzuki yang baru saja berakhir.

    Johor Darul Ta’zim dan Selangor dilihat sebagai destinasi yang sesuai untuk Syazwan kerana beliau perlu beraksi di peringkat tertinggi bersama pasukan yang serba lengkap bagi memastikan beliau dapat mengekalkan momentum semasa.

    Jika kembali ke JDT, Syazwan akan bersaing dengan dua pemain iaitu Fazly Mazlan dan La’Vere Corbin-Ong bagi merebut posisi pertahanan kiri. Jika menyertai pasukan Selangor, Syazwan berkemungkinan besar akan bersaing dengan Syukri Azman dan K.Kannan.

    Baca Juga: B.Sathianathan Mahukan Endrick Dos Santos

    Leave a comment

    Your email address will not be published.