• Pasukan Selangor semakin rancak dalam membuat persiapan untuk menghadapi saingan Liga Malaysia musim hadapan apabila mereka mahu membawa masuk pemain import yang beraksi bersama Felcra FC musim ini, Endrick Dos Santos bagi mengukuhkan pasukan.

    Dos Santos beraksi dengan cemerlang musim ini dimana beliau membantu Felcra menamatkan saingan Liga Perdana di tempat kedua sekaligus mendapat slot untuk beraksi dalam saingan Liga Super musim 2019 nanti. Namun, atas masalah kewangan, Felcra terpaksa menolak slot tersebut dan pasukan dibubarkan.

    Menurut Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Dr. Johan Kamal Hamidon, ketua jurulatih pasukan, B.Sathianathan sememangnya mahukan khidmat Endrick dan ketika ini pihaknya sedang membincangkan tentang butiran bagi membawa masuk pemain tersebut.

    “Endrick seorang pemain yang baik. Dia antara calon yang dimahukan ketua jurulatih, B.Sathianathan. Segala butiran tentang pengambilan pemain itu masih dalam perbincangan.

    “Namun, dia akan menjalani beberapa sesi ujian bersama skuad utama kami,” kata Dr Johan kepada Stadium Astro.

    Setakat ini, pengurusan pasukan Selangor belum membawa masuk pemain import baru dimana mereka hanya mengekalkan khidmat penyerang dari Sepanyol, Rufino Segovia bagi menerajui jentera serangan pasukan musim hadapan.

    Dua pemain Indonesia, Evan Dimas Darmono dan Ilham Udin Armayn masing-masing pulang ke kampung halaman dengan menyertai pasukan Barito Putera dan Bhayangkara FC. Willian Pacheco dan Alfonso De La Cruz pula masih belum jelas nasib mereka sama ada dikekalkan ataupun tidak.

    Jika benar Endrick Dos Santos dibawa masuk, berkemungkinan besar beliau bakal digandingkan dengan Rufino Segovia di bahagian serangan pasukan. Segovia menjadi nadi utama pasukan Selangor musim ini dimana beliau berjaya menjaringkan 19 gol dalam saingan Liga Super sekaligus menobatkan beliau sebagai Penjaring Terbanyak untuk musim 2018.

    Tambah Dr Johan, mengekalkan khidmat Rufino merupakan kejayaan terbesar bagi pihak pengurusan pasukan.

    “Mengekalkan Rufinho merupakan kejayaan besar buat kami kerana pemain itu merupakan penjaring terbanyak tahun ini. Banyak pasukan mahukan khidmatnya, namun dia tetap setia bersama kami,” tambahnya.

    Baca Juga: Rufino Segovia Sasarkan Satu Piala Musim Hadapan

    Leave a comment

    Your email address will not be published.