• Dua pemain Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) FC, Shahrel Fikri dan Hafiz Ramdan sah menyertai pasukan Perak bagi saingan Liga Malaysia musim hadapan.

    Perkara ini disahkan oleh Pengurus Perak, Datuk Adly Shah Ahmad Tah dimana pihaknya telah memperoleh persetujuan daripada kedua-dua pemain untuk beraksi bersama juara Piala Malaysia 2018 itu.

    “Shahrel dan Hafiz akan memperkuatkan Perak musim baru nanti. Saya yakin kehadiran mereka akan memantapkan lagi Perak,” katanya kepada Stadium Astro.

    Shahrel Fikri dan Hafiz Ramdan beraksi buat PKNP FC pada saingan Liga Malaysia musim ini namun Eki kemudiannya berhijrah ke Thai League 1 dengan menyertai pasukan Nakhon Ratchasima FC secara pinjaman selama lima bulan.

    Hafiz Ramdan pula menjadi nadi utama PKNP setelah pemergian Eki ke Thailand dan beliau tampil dengan baik sepanjang saingan musim lalu.

    Sebelum ini, pengurusan pasukan Perak berjaya mendapatkan khidmat pemain sayap. J.Partiban yang beraksi dengan Terengganu FC musim ini. Perak mengambil keputusan untuk melepaskan Nazrin Nawi dan Partiban berkemungkinan besar bakal mengisi kekosongan tersebut.

    Adly berkata dia juga akan membuat keputusan mengenai kedudukan pemain tengah, Mohd Hafiz Kamal selepas mengadakan perbincangan dengan ketua jurulatih pasukan, Mehmet Durakovic.

    Bekas pemain Pahang dan Selangor berusia 31 tahun itu sudah pulih daripada kecederaan ‘posterior cruciate ligament’ (PCL), iaitu koyak ligamen di belakang lututnya yang dialami pada September 2017 yang menyebabkan dia terpaksa berehat sepanjang musim 2018.

    Setakat ini, Perak belum membuat keputusan sama ada mahu mengekalkan tiga pemain import yang menjadi nadi utama pasukan dalam usaha mereka untuk memenangi Piala Malaysia. Tiga pemain yang dimaksudkan ialah Gilmar da Silvva, Wander Luiz dan Leandro Dos Santos.

    Baca Juga: Shahrel Fikri Mampu Jadi Senjata Berbahaya

    Leave a comment

    Your email address will not be published.