• Penyerang pasukan kebangsaan, Shahrel Fikri Fauzi kini dalam dilema sama ada beliau patut kekal beraksi bersama PKNP FC atau menyertai pasukan Perak bagi saingan Liga Malaysia musim hadapan.

    Penyerang yang dipinjamkan untuk beraksi bersama Nakhon Ratchasima FC dalam saingan Thai League 1 selama lima bulan itu belum membuat sebarang keputusan mengenai pasukan mana yang akan beliau wakili musim hadapan.

    “Kontrak saya bersama PKNP FC sehingga tahun 2020 dan memang sekarang ada rundingan dengan pasukan Perak dan saya ada menyatakan niat untuk bermain dengan Perak.

    “Namun saya perlu hormat pasukan saya ketika ini sebab saya tahu PKNP FC juga memerlukan saya untuk mengharungi musim baru kerana sebelum ini saya berada di liga Thailand dan sudah lama tidak bersama PKNP FC.

    “Jadi tahun 2019 saya ingin memulakan musim baharu dengan PKNP FC dan mengenai (tawaran) Perak itu saya tidak boleh cakap lagi kerana memang tiada kata putus antara kedua-dua pasukan,” kata Shahrel menurut laporan Berita Harian.

    Shahrel mula mencipta nama dalam saingan Liga Malaysia apabila beliau mewakili PKNP FC dan membimbing pasukan tersebut mara sehingga ke peringkat Liga Super.

    “Rasa sayang itu ada dan saya ingin berterima kasih kepada pengurusan PKNP FC dan jurulatih Abu Bakar Fadzim yang selama ini memberi kepercayaan kepada saya.

    “Ini antara sebab saya tidak tahu ingin memilih dan dalam dilema terutama pengurusan yang jaga saya selama ini dan ambil berat tentang saya.

    “Perak juga satu peluang yang menarik kerana pasukan itu menjuarai Piala Malaysia, jika ada tawaran saya ingin pergi sebab Perak memang pasukan terbaik,” tambahnya.

    Shahrel juga mengakui terdapat usaha untuk menyambung kontraknya untuk terus beraksi dalam saingan Thai League 1 musim hadapan namun perkara itu tidak menjadi kenyataan.

    Baca Juga: Hadi Perlu Lebih Kuat – Bojan Hodak

    Leave a comment

    Your email address will not be published.