• Bekas pengendali pasukan Perak, Datuk M.Karathu berpendapat ketua jurulatih pasukan kebangsaan, Tan Cheng Hoe perlu membuat pertukaran dan meletakkan pemain naturalisasi negara, Mohamadou Sumareh sebagai penyerang utama.

    Menurut M.Karathu, kekuatan fizikal serta kemahiran yang dimiliki oleh pemain berusia 26 tahun itu perlu dimanfaatkan apabila pasukan negara bertandang ke Hanoi pada Sabtu ini untuk menghadapi perlawanan akhir kedua.

    “Kalau kita lihat, Sumareh boleh menguasai bola dengan baik, menggelecek pemain lawan dengan kemahiran dan kepantasannya. Pada saya, lebih baik dia bermain di posisi Zaquan (Adha Abd Radzak) sebagai penyerang tengah dan bukannya di bahagian tepi.

    “Jika dia di bahagian tengah akan memudahkannya membuat percubaan. Jika dia bermain di bahagian tepi, dia hanya boleh melakukan hantaran.

    “Memang kita ada seorang lagi penyerang, Mat Yo (Norshahrul Idlan Talaha) tapi saya lihat dia tidak mendapat sokongan rakan sepasukan di bahagian atas,” kata Datuk M.Karathu menurut laporan Berita Harian.

    Perlawanan akhir pertama diantara kedua-dua pasukan di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Selasa lalu berakhir dengan keputusan 2-2. Keputusan seri ini sememangnya memberikan sedikit tekanan buat anak-anak buah Tan Cheng Hoe untuk memadam kelebihan yang dimilikioleh Vietnam.

    Pada perlawanan peringkat kumpulan sebelum ini, Malaysia tewas dengan keputusan 2-0 dan menurut bekas ketua jurulatih pasukan kebangsaan, Wan Jamak Wan Hassan, Cheng Hoe perlu mengelak daripada situasi sama berulang.

    “Kita bermain baik dengan mengawal permainan tapi kita kurang bijak untuk masuk ke dalam kotak penalti Vietnam ketika menyerang. Bila kita ‘syok’ menyerang, kita terlupa Vietnam sangat bahaya ketika membuat serangan balas pantas.

    “Kita banyak kali terperangkap dengan hantaran bola Vietnam ke belakang pertahanan kita. Hantaran pemain Vietnam cukup baik dan mereka memiliki penyerang yang pantas untuk memintas pemain pertahanan kita, jadi kita perlu lebih berhati-hati selepas ini.

    “Peluang kita masih ada dan jika kita boleh menjaringkan gol awal, ia akan memberi tekanan kepada Vietnam nanti,” kata Wan Jamak.

    Baca Juga: Jangan Kecewa – Datuk Hamidin Mohd Amin

    Leave a comment

    Your email address will not be published.