• Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman akan terbang ke Hanoi bagi memberi sokongan kepada skuad Harimau Malaya yang akan beraksi dalam perlawanan akhir kedua menentang Vietnam pada Sabtu ini di Stadium Nasional MyDinh.

    Menurut Syed Saddiq, beliau mahu memberi sokongan pada perlawanan akhir kedua ini setelah menyaksikan semangat juang tinggi yang ditampilkan oleh para pemain sepanjang saingan Piala AFF Suzuki 2018.

    “Kalau lihat prestasi mereka memang sangat memberangsangkan, pada masa yang sama mereka menyatupadukan rakyat Malaysia yang pelbagai bangsa dan agama. Ia merupakan perkara yang saya sendiri terinspirasi.

    “Saya akan pergi bersama dengan mereka ke Vietnam. Kita telah pun berjaya menyewa empat penerbangan bersama AirAsia. Kita akan bawa sebanyak Ultras (Ultras Malaya) yang mungkin supaya sokongan padu diberikan kepada Harimau Malaya, walaupun beraksi di tempat lawan,” katanya menurut laporan Utusan.

    Pada masa yang sama, YB Bro turut mahukan seluruh rakyat Malaysia akan memberikan sokongan kepada pasukan bimbingan Tan Cheng Hoe itu walaupun tidak berpeluang untuk berangkat ke Hanoi.

    “Kalau tidak ke sana (Hanoi) pun, buka televisyen bersama-sama anggota keluarga, ada banyak tempat orang berkumpul seperti di warung, kedai makan dan tempat awam. KBS (Kementerian Belia dan Sukan) juga akan buat banyak tayangan langsung,” tambahnya.

    Ketika perlawanan akhir pertama di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Selasa lalu, Harimau Malaya berjaya bangkit dari ketinggalan dua gol dan mengikat pasukan lawan dengan keputusan 2-2. Shahrul Saad dan Safawi Rasid menjadi wira pasukan apabila menjaringkan gol masing-masing pada separuh masa pertama dan kedua.

    Apa yang pasti, para pemain perlu menamilkan persembahan terbaik mereka bagi memadam kelebihan yang dimiliki oleh Vietnam dan menewaskan mereka di laman sendiri. Pada perlawanan di peringkat kumpulan, Malaysia tewas dengan keputusan 2-0.

    Para pemain juga perlu memastikan mereka tidak mengulangi kesilapan sepertimana yang dilakukan pada perlawanan pertama bagi memastikan Malaysia memenangi kejuaraan Piala AFF kedua.

    Baca Juga: Farizal Percaya Kemampuan Rakan Sepasukan

    Leave a comment

    Your email address will not be published.